Khamis, 20 Jun 2019 | 9:28pm
PEMAIN Malaysia, Malcolm Ting dahului bersama golf Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia di Kuching, hari ini.

Malcolm dahului bersama pusingan pertama golf Amatur Terbuka Malaysia

KUCHING: Lima catatan birdie membantu pemain negara, Malcolm Ting berkongsi kedudukan pendahulu pusingan pertama golf Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia ke-117 di di Kelab Golf Sarawak, Kuching, hari ini.

Pemain kelahiran Miri itu mencatatkan birdie di lubang ketiga, kelapan, kesembilan, ke-12 dan ke-15 selain tiga bogey di lubang ke-11,ke-13 dan ke-16, bagi membolehkannya menamatkan saingan dengan catatan 70 dua di bawah par.

Turut mencatatkan keputusan sama adalah pemain Flilipina, Luis Miguel Casro dan Lawry Flynn dari Australia.

Malcolm, 17, yang bermula pada sesi pagi ketika ditemui gembira dengan corak permainannya dan lebih yakin untuk menghadapi cabaran pusingan kedua pada esok namun berharap mampu lebih konsisten dengan pukulan yang dilakukan.

“Satu permulaan yang baik. Saya sedar saya perlu lebih konsisten untuk terus berada di kedudukan teratas dan berharap untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik pada pusingan kedua esok.

“Lapangan ini amat sukar dengan fairway yang sempit dan green yang laju. Sedikit kesilapan boleh menghukum,” kata Malcolm yang juga pemain amatur nombor satu di Sarawak.

Sementara itu dalam kategori wanita, pemain negara mengungguli kedudukan tiga tempat teratas senarai pendahulu pusingan pertama yang diketuai Putri Alyaa Ghanny dengan catatan 69 pukulan tiga bawah par.

Pemain negara yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS), Natasha Andrea Oon di kedudukan kedua dengan catatan 70 pukulan dua dibawah par manakala tempat ketiga milik Liyana Durasic dengan catatan 71 pukulan satu di bawah par.

Seramai 157 pemain lelaki dan 38 pemain wanita dari 17 negara menyertai kejohanan selama empat hari ini yang juga saingan golf amatur tertua di dunia.

Antaranya Autralia, Bahrain, Brunei, Hong Kong, Indonesia, India, Korea, Filipina, Pakistan, Singapura, Fiji, Guam dan Japan.

Kategori lelaki berlangsung di lapangan Matang/Santubong par 72 dengan jarak 6,423 meter manakala wanita di lapangan Siol/Demak, par 72 pada jarak 5,485 meter. Pusingan kedua kejohanan akan bermula pada jam 6.45 pagi esok.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Zulkifli Ismail ketika dihubungi teruja dengan sambutan baik yang diterima untuk Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia pada tahun ini.

Katanya, kehadiran sejumlah pemain utama dari negara luar pada edisi tahun ini membuktikan kejohanan berkenaan adalah antara saingan golf elit yang harus disertai oleh pemain amatur di rantau ini.

“Memang saya gembira dengan penyertaan tahun ini yang jelas jauh lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan kehadiran sejumlah pemain amatur terbaik di rantau ini.

“Pada kejohanan kali ini, MGA juga mengambil inisiatif mewujudkan semula kategori wanita sebagai langkah untuk terus konsisten dalam membangunkan sukan golf dikalangan pemain berkenaan”, katanya.

Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia ke-117 dianjurkan oleh MGA dengan Persatuan Golf Sarawak bertindak sebagai pengurus manakala kerajaan negeri Sarawak sebagai penaja. Kejohanan kali ini diadakan di Kuching sempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019.

Berita Harian X