Rabu, 19 Jun 2019 | 9:22pm
KETUA Kontinjen (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Megat Zulkarnain jamin makanan halal di Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR: Atlet negara yang bakal bertanding di Sukan SEA Filipina 2019 bermula 30 November hingga 11 Disember, tidak perlu risau mengenai soal status makanan halal dan penempatan mereka.

Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memberi jaminan, pihaknya akan menyelesaikan isu itu dan mahu atlet negara memberikan tumpuan sepenuh mereka dalam membawa kejayaan kepada negara.

Beliau berkata sekiranya perlu, pihaknya akan membawa tukang masak sendiri dari Malaysia atau menggunakan perkhidmatan tukang masak dari kawasan Manila, menerusi bantuan Kedutaan Malaysia di situ.

Megat berkata beliau bersama-sama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan lawatan ke semua kluster temasya itu bermula 1 hingga 5 Julai ini untuk meninjau persediaan tuan rumah.

“Kita telah kenal pasti beberapa masalah. Antaranya ialah soal penyediaan makanan dan penginapan atlet kita di luar daripada kluster Manila. Kita memang serius dalam menyelesaikan semua masalah yang berbangkit.

“Ketika lawatan itu, kita akan lihat bagaimana tahap persediaan tuan rumah, dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dan sekiranya wujud apa-apa masalah, saya akan bawa ke mesyuarat CDM yang kedua berlangsung dari 10 hingga 13 Julai.

“Kita mungkin akan menghadapi isu makanan halal di kluster Subic, kerana kita dapati agak sukar. Mereka pun tak berapa faham apa maksud terminologi halal, pada mereka no pork. Kalau ada masalah, kita dah ada penyelesaian,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat latihan skuad wushu negara di MSN, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Terdahulu, dua timbalannya, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli dan bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, turut melawat persediaan pasukan menembak, karate, ping pong dan taekwondo.

“Saya difahamkan bahawa bukan lima sukan ini sahaja, tetapi semua atlet kita telah memulakan latihan sejak Januari lalu. Kita akan melawat semua 51 jenis sukan yang kita ambil bahagian, untuk melihat tahap kesediaan mereka.

“Kita ingin memberi rangsangan supaya atlet kita pergi ke Filipina sebagai juara (edisi ke-29 di Kuala Lumpur) dan beri yang terbaik. Tak kira apa pun keputusan pada hari pertandingan nanti,” katanya merujuk kepada kejayaan cemerlang kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas.

Edisi ke-30 Sukan SEA yang akan berlangsung di tiga kluster utama iaitu Manila, Subic dan Clark dengan bakal mempertandingkan 56 jenis sukan.

-- BERNAMA

Berita Harian X