Selasa, 18 Jun 2019 | 9:40pm
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. - Foto Asyraf Hamzah
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. - Foto Asyraf Hamzah

Khairy dapat lampu hijau MPM

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk bertanding merebut jawatan presiden menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 29 Jun ini.

Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan oleh MPM, persatuan itu mengesahkan Khairy yang bertanding atas tiket Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

“Lima calon menghantar borang pada 15 Jun dan mereka adalah Siti Zaharah, Dr Naharuddin, Dr S Radha Krishnan, Keng Chuan dan Khairy. Borang terakhir diterima pada pukul 9.38 malam,” kata Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

“Lembaga Eksekutif sebulat suara memutuskan bahawa lima calon terbabit dibenarkan bertanding kerana mereka mematuhi peraturan dan memfailkan pencalonan masing-masing dalam tempoh masa dan mematuhi syarat yang ditetapkan di borang pencalonan.”

Sebelum ini, status Khairy menjadi tanda tanya selepas difahamkan borang pencalonannya dihantar pada pukul 11.30 malam 15 Jun bersama Timbalan Presiden MPM, John Ng, sedangkan tarikh akhir yang tertera di borang pencalonan adalah pada pukul 11.59 malam, 14 Jun.

John Ng dari Persatuan Ping Pong Malaysia bakal berentap dengan Radha dari Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia/Persatuan Boccia Malaysia bagi kerusi timbalan presiden MPM.

Lapan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Hadfizah Abd Khafidz (Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K M Rajendran (Taekwando Malaysia), Muhd Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia), Dr Ang Kean Koo (Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia), Dr Naharuddin Hashim (Persatuan Badminton Malaysia) dan Mejar Azhari Abdullah (Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia).

Dua lagi pencalonan untuk mengisi satu kuota wanita adalah Siti Zaharah Abdul Khalid (Persatuan Boling Padang OKU Malaysia) dan Noor Syahieda Mat Shah (Persatuan Powerlifting Para Malaysia).

Dua pencalonan untuk jawatan Setiausaha Agung diisi Datuk R. Subramaniam (Persatuan Olahraga Para Malaysia) dan Irena Chang (Persatuan Bola Tampar OKU Malaysia) manakala S Kumarusamy (Persatuan Para Karom Malaysia) tidak menerima cabaran untuk jawatan bendahari.

Berita Harian X