Ahad, 16 Jun 2019 | 9:17pm
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah

KJ cabar Megat D Shahriman

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah bertanding jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Pencalonan Khairy dikatakan dibuat di saat akhir iaitu kira-kira 30 minit sebelum tarikh tutup pencalonan pada tengah malam tadi bagi mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang terlebih dahulu menawarkan diri mengisi jawatan itu.

Pencalonan Khairy bagaimanapun menimbulkan tanda tanya mengenai status beliau sama ada  ahli di dalam mana-mana persatuan sukan yang menganggotai MPM kerana perlembagaan MPM menyatakan sesiapa juga calon yang bertanding perlulah menjadi ahli persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah MPM.

Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia bagaimanapun mengesahkan  Khairy sebenarnya bukan sekadar ahli biasa di dalam persatuan sukan itu tetapi beliau sudah dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu pada awal tahun ini.

"Tentang pencalonan itu (presiden MPM), saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan sehinggalah senarai pencalonan diumumkan secara rasmi pada esok (Isnin).

"Apa yang boleh saya katakan Khairy bukanlah orang luar kerana beliau adalah Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia," kata Setiausaha Presekutuan Kerusi Roda Malaysia, Dr Ang Kean Koo di sini hari ini.

Sebelum ini, Megat D Shariman menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden MPM selepas SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan pada AGM yang dijadualkan 29 Jun ini.

 

Berita Harian X