Sabtu, 15 Jun 2019 | 8:44pm
MEGAT D Shahriman Zaharudin pada Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi
MEGAT D Shahriman Zaharudin pada Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

Peluang Megat D Shahriman terajui MPM cerah

 

KUALA LUMPUR: Peluang Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin mengambil alih pucuk pimpinan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kian cerah selepas dikhabarkan tiada pertandingan bagi jawatan presiden majlis berkenaan.

Menurut Setiausaha Kehormat MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid, setakat jam 12 tengahari tadi pihaknya hanya menerima satu pencalonan bagi jawatan itu dengan 'pintu pencalonan' akan ditutup pada malam ini. 

"Setakat ini kami baharu menerima satu pencalonan bagi kerusi presiden, satu bagi timbalan presiden, dua bagi setiausaha agung, satu bendahari dan tujuh jawatan naib presiden.

"Bagaimanapun, senarai rasmi pencalonan hanya kami dapat diumum pada Isnin ini menerusi satu kenyataan media akan dikeluarkan MPM," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MPM Ke-12, hari ini.

Terdahulu, laporan BH Sukan mengesahkan bahawa Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin tidak lagi akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak empat tahun lalu itu.

Dan mengikut jejaknya adalah Timbalan Presiden MPM, John Ng yang turut mengumumkan pengundurannya selepas lebih 19 tahun menabur bakti dalam membangunkan sukan berkenaan.

Difahamkan, jawatan timbalan presiden bakal memperlihatkan kemasukan muka baharu iaitu Dr S Radha Krishnan Sinnathamby (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia) selepas tidak ada pencabar.

Bagi Setiausaha Agung MPM pula akan menjadi rebutan antara Naib Presiden, Datuk R Subramaniam dengan Irene Chang (Persatuan Bola Tampar OKU Malaysia), Siti Zaharah pula akan mencuba nasib bagi posisi naib presiden dengan dia bakal mendapat tentangan daripada enam calon lain.

Sementara itu, Megat D Shahriman ketika ditemui mengakui beliau sentiasa terbuka untuk bertanding secara sihat meskipun setakat ini belum ada pencabar.

"Jadi, untuk hari ini kita bersetuju mengadakan Majlis Pemilihan pada AGM 29 Jun ini, syukur sokongan daripada persatuan amat positif.

"Kalau tiada halangan, tidak mustahil pucuk pimpinan MPM akan datang akan menampilkan muka baru, kita nak bergerak ke depan untuk bangunkan MPM," katanya.

Berita Harian X