Isnin, 3 Jun 2019 | 11:48pm
SIDNEY Tung
SIDNEY Tung

Bekas Setiausaha Agung MTBC Sidney Tung meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Sidney Tung, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Mendiang, yang berusia 74 tahun, mencurahkan khidmat bakti dalam sukan boling selama 35 tahun, termasuk menjadi setiausaha agung persatuan itu dari tahun 1980 hingga 2003.

Isteri mendiang, Vicky Kok Yik Shin, 68, berkata, suaminya dimasukkan ke PPUM sejak 19 April lalu untuk rawatan jangkitan kuman dalam perut dan paru-paru dan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan, Vivian Tung Wei Wei, 42, dan Lisa Tung Pei Pei, 39.

“Upacara penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari bermula esok, manakala upacara pengebumian akan diadakan pada Khamis jam 12 tengah hari di Nirvana Memorial Centre, Sungai Besi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mendiang adalah pengasas Persatuan Tenping Boling Kuala Lumpur pada 1976 serta menjadi ahli Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada 1980, pengurus sukan boling pada temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kejohanan Tenping Boling Dunia pada 2003.

Mendiang juga dilantik sebagai Naib Presiden Persekutuan Boling Asia (ABF) pada 1997 dan Persekutuan Tenpin Boling Komanwel pada 2002.

Pada 2003, beliau diberi Anugerah Khidmat Perpuji Mort Luby Jr oleh Penulis-Penulis Boling Dunia atas sumbangan beliau kepada sukan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar buat dunia boling negara.

“Sumbangan mendiang kepada pembangunan dan perkembangan sukan peringkat negara adalah amat luar biasa.

“Usaha keras beliau dan Presiden, Datuk Dr P. S. Nathan adalah asas kepada kejayaan MTBC selama ini. Mendiang sentiasa memperjuangkan nasib pemain dan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaannya.

“Sukar untuk menilai kerana sumbangan mendiang kepada dunia boling sangat besar,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X