Rabu, 29 Mei 2019 | 5:49pm
PENGURUS besar Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok. NSTP/Rosela Ismail
PENGURUS besar Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok. NSTP/Rosela Ismail

Sasaran MTBC lebih rendah di Filipina

 

KUALA LUMPUR: Sukan SEA di Filipina bakal menjadi keutamaan skuad boling negara walaupun sebelum itu bakal beraksi pada Kejohanan Boling Wanita Dunia bagi mempertahankan gelaran acara berpasukan dimenangi dua tahun lalu.

"Fokus utama kami adalah Sukan SEA namun kami akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Boling Wanita Dunia Ogos ini (di Las Vegas).

"Sukan SEA masih menjadi keutamaan kita namun sasaran pingat lebih rendah berbanding temasya lalu (Kuala Lumpur 2017) kerana kali ini tiada acara trio (lelaki dan wanita) dipertandingkan," kata Pengurus besar Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok.

Selain kehilangan potensi dua pingat emas, Maradona berkata, sasaran MTBC iaitu empat daripada keseluruhan sembilan emas dipertandingkan adalah realistik kerana peraturan tuan rumah yang hanya membenarkan setiap kontinjen menghantar masing-masing empat pemain lelaki dan wanita kali ini.

"Jika dulu (pada 2017), kita boleh menghantar enam pemain lelaki dan enam pemain wanita, jadi peluang untuk memenangi pingat adalah lebih besar. 

"Kini hanya empat lelaki dan empat wanita saja. Ini adalah strategi tuan rumah," katanya.

Pada Sukan SEA dua tahun lalu, skuad boling negara muncul juara keseluruhan apabila membawa pulang tujuh daripada 11 emas dipertandingkan.

Maradona berkata, pihaknya masih belum menerima buku teknikal rasmi Sukan SEA pada kali ini namun sembilan acara bakal dipertandingkan itu adalah muktamad. 

Sembilan acara yang bakal dipertandingkan adalah perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, empat sepasukan lelaki dan wanita, Masters lelaki dan wanita serta acara campuran.

"Buat masa ini kita ada 11 pemain lelaki dan 12 pemain wanita sebelum senarai empat pemain lelaki dan wanita akan diputuskan sebelum 1 Ogos ini," katanya dengan skuad negara masih meneruskan khidmat ketua jurulatih, Holloway Cheah.

 

 

Berita Harian X