Jumaat, 26 April 2019 | 8:07pm
KETUA Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali. - NSTP/Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali. - NSTP/Saddam Yusoff

48 pasukan 'tunjuk taring' di XPAX KEK 2019

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48 pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mewakili lima zon menampilkan kehebatan masing-masing pada Grand Finals XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 berlangsung selama dua hari di Sunway Pyramid, bermula hari ini.

Acara e-sukan kampus yang pertama dan terbesar di Malaysia anjuran Media Prima Digital menerusi portal permainannya, MyGameOn serta rakan strategik Kitamen itu menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM180,000. 

Ia mempertandingkan tiga permainan popular iaitu Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer 2019 (PES 2019) dan DOTA2.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali menjelaskan penganjuran acara e-sukan kampus terbesar itu dapat mengumpulkan bakat dalam kalangan pelajar IPT.

“Kami amat gembira dengan sambutan diterima di semua lima lokasi zon final XPAX KEK. Penganjuran acara e-sukan kampus terbesar  ini menjanjikan pengalaman yang berbeza bila mana kita berjaya mengumpulkan bakat e-sukan yang terdiri daripada pelajar IPT itu sendiri,” kata Rafiq.

Dalam pada itu, Rafiq menegaskan kejohanan dianjurkan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa komitmen diberikan penaja utama iaitu XPAX dalam memperkasa industri e-sukan negara. 

“Kerjasama pengurusan kampus yang terbabit juga penting dalam membangunkan industri e-sukan di Malaysia, seterusnya membentuk ekosistem sihat yang boleh membudayakan konsep ‘Healthy Gaming’ dalam kalangan pelajar IPT di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, XPAX KEK memulakan siri jelajahnya bagi mencari pasukan terbaik dari IPT di setiap zon bermula dengan zon utara (Universiti Teknologi Petronas, Perak), selatan (UiTM Alor Gajah, Melaka), Borneo (Universiti Malaysia Sabah, Sabah), sentral (UiTM Puncak Alam, Selangor) dan diakhiri timur (Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu).

Selain itu, pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah seperti kerusi gaming Todak, gaming keyboard Sades, gaming headset Sades, Acer laptop selain kredit e-wallet Boost bernilai RM 1,000.

IPT dengan pasukan yang menjadi pemenang paling banyak berpeluang menerima biasiswa bernilai RM50,000 dibawakan jenama terkemuka Celcom, XPAX, sebagai satu inisiatif dalam memperkasa e-sukan.

 

Turut berlangsung, persembahan nyanyian daripada artis terkemuka tanah air.

Berita Harian X