Khamis, 25 April 2019 | 3:13pm

Pesilat negara sedia menggegar di Belgium

BELGIUM: Seramai 16 pesilat negara menjadi pertaruhan mengibarkan Jalur Gemilang di Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium bermula esok.

Ia adalah kejohanan antarabangsa pertama dihadapi pasukan kendalian jurulatih, Mazlan Shaari dan Nasri Nasir dalam tahun ini bagi mempersiapkan pasukan terbaik berdepan Sukan SEA di Filipina November ini.

PASUKAN silat negara pada sesi latihan ringan menjelang Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.
PASUKAN silat negara pada sesi latihan ringan menjelang Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.

Pengurus pasukan, Zaihan Mohd Isa, berkata pasukan silat negara perlukan lebih banyak pendedahan, namun setakat ini beliau yakin dengan kemampuan pasukannya menghadapi cabaran di kejuaraan ini meskipun tanpa kelibat ikon pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari.

Katanya, berdasarkan persediaan sejak awal tahun ditambah dengan strategi taktikal yang direncana jurulatih, pasukan silat negara dijangka mampu mencapai kejayaan di Belgium.

“Memang ada beberapa cabaran yang terpaksa kita depani terutama dengan kekurangan pertandingan yang kita hadapi tahun ini tetapi pasukan yang dibawa kali ini, kebanyakan mereka cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa.

PASUKAN silat negara sedang menjalani latihan ringan menjelang Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.
PASUKAN silat negara sedang menjalani latihan ringan menjelang Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.

“Apapun, kejuaraan di Belgium ini penting bagi jurulatih untuk menilai atlit sedia ada kerana ini adalah kejuaraan antarabangsa pertama kami sertai tahun ini. Selepas ini, difahamkan pesilat negara akan melalui proses tapisan apabila perlu berdepan juara kebangsaan untuk mewakili negara.

“Berdasarkan semangat yang ditunjukkan pesilat terutama selepas dua hari menjalani latihan ringan di sini, kami yakin mereka mampu mencapai kejayaan di sini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan negara di Belgium, pada Khamis.

Mengenai ketiadaan Al-Jufferi dalam kejuaraan kali ini, Zaihan berkata bekas olahragawan negara itu sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan baru-baru ini.

Bagaimanapun bekas olahragawati negara, Siti Rahmah Nasir, berada dalam skuad negara di sini, sekali gus menjadi harapan untuk meraih pingat emas.

PASUKAN silat negara bakal sertai Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.
PASUKAN silat negara bakal sertai Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belgium.

Malaysia bakal berdepan cabaran getir kerana kejuaraan kali ini disertai 21 pasukan dari seluruh dunia, selain buat pertama kali memperkenalkan kategori silat seni.

Selain pasukan silat negara, dua wasit juri negara juga turut terpilih mengadili kejuaraan ini iaitu Azrul Affandi Sobry dan Kamarul Ariffin A Latib.

PENGURUS pasukan, Zaihan Mohd Isa (kanan). - NSTP/Owee Ah Chun
PENGURUS pasukan, Zaihan Mohd Isa (kanan). - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X