Sabtu, 13 April 2019 | 7:40pm
DR MAHATHIR (kiri) ketika sesi bergambar bersama Pemenang Keseluruhan (Jersi kuning) yang diungguli oleh pelumba dari Sapura Cycling Team Benjamin Dyball selepas tamat perlumbaan pada siri Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 peringkat kelapan mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 103.8 kilometer. - Foto Bernama
DR MAHATHIR (kiri) ketika sesi bergambar bersama Pemenang Keseluruhan (Jersi kuning) yang diungguli oleh pelumba dari Sapura Cycling Team Benjamin Dyball selepas tamat perlumbaan pada siri Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 peringkat kelapan mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 103.8 kilometer. - Foto Bernama

Jersi Kuning LTdL 2019 sah milik Dyball

LANGKAWI: Benjamin Dyball dari pasukan profesional negara, Team Sapura Cycling (TSC) mengesahkan statusnya selaku pelumba terbaik keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 sekali gus menyarung Jersi Kuning PETRONAS sebaik tamat peringkat terakhir di Pekan Kuah, hari ini.

Dia mengumpul masa 29 jam 15 minit 53 saat (s) untuk mengatasi pelumba Floyd's Pro Cyling, Keegan Swirbul yang ketinggalan 50s di belakang.

Saingan Peringkat 8 itu dimenangi pakar pecut Androni Giocattoli-Sidermec, Marco Benfatto dengan catatan 2:17:42s tetapi kemenangan Dyball lebih menarik perhatian yang menyaksikan Jersi Kuning kekal menjadi milik pelumba dari pasukan negara buat tahun kedua berturut-turut.

Tahun lalu, pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Artem Ovechkin dari Russia memenangi jersi berprestij berkenaan.

Kemenangan pada Peringkat 4 di Genting Highlands jelas membawa tuah buat Dyball dari Australia yang bekerja keras untuk mempertahankan jersi berkenaan dalam baki empat peringkat berikutnya.

"Genting sentiasa menjadi peringkat paling penting. Selepas menyarung jersi ini, pasukan memberikan sepenuh kerjasama untuk saya," kata Dyball yang menyertai TSC tahun ini.

"Bagi saya, berupaya memakai jersi ini dan pasukan mengawal perlumbaan, tiada apa lagi yang saya mahukan."

Bagi Dyball, LTdL kali ini adalah perlumbaan yang hebat dan pasukannya memiliki penyokong dianggap 'super' pada setiap saingan.

"Ia sesuatu yang hebat yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini, suasana amat menakjubkan," katanya.

Pemenang Jersi Hijau PETRONAS selaku Raja Pecut, Travis McCabe pula jelas gembira dan amat berpuas hati dapat menyarung jersi berkenaan pada kali kedua penyertaannya sejak 2017.

"Perlumbaan yang hebat, saya menang dua peringkat pada 2017 tetapi tidak dapat Jersi Hijau. Kali ini menang peringkat dan dapat jersi, ia perlumbaan yang berjaya buat kami.

“Cuaca panas dan lembap, pendakian di gunung 'gila' di Genting bukanlah mudah buat pakar pecut seperti saya. Kami amat menyukainya, perlumbaan yang amat menyeronokkan dan kami tidak sabar untuk kembali pada 2020," katanya.

Sementara itu Jersi Merah sah menjadi milik Angus Lyons selaku Raja Bukit manakala Vadim Pronskiy menyarung Jersi Putih Pelumba Terbaik Asia.

Keputusan Peringkat 8

1. Marco Benfatto (Androni Giocattoli-Sidermec) 2:17:42s

2. Blake Quivk (St George Continental Cycling Team) +00:00s

3. Matteo Pelucchi (Androni Giocattoli-Sidermec) +00:00s

4. Youceff Reguigui (Terengganu Cycling Team) +00:00s

5. Travis McCabe (Floyd's Pro Cycling) +00:00s

*Kedudukan 5 terbaik

Berita Harian X