Ahad, 31 March 2019 | 6:11pm
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri) bergambar bersama Pesilat Putra dan Putri Terbaik Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19, Mohamad Hafiz Halim dan Nur Syafiqah Hamzah di Kuantan. - Foto Asrol Awang
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri) bergambar bersama Pesilat Putra dan Putri Terbaik Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19, Mohamad Hafiz Halim dan Nur Syafiqah Hamzah di Kuantan. - Foto Asrol Awang

Malaysia tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia 2020

KUANTAN: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengesahkan Malaysia dipilih selaku tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia Ke-19, tahun depan.

Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau bersama kepimpinan PESAKA akan ke Jakarta, Indonesia hari ini untuk menerima surat pengesahan Malaysia sebagai tuan rumah.

"Setakat ini, PESAKA sudah menerima dua tawaran, masing-masing dari Pahang dan Sarawak yang ingin menganjurkan Kejuaraan Silat Dunia tahun depan,” kata Megat Zulkarnain.

"Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada tahun 2007 yang berlangsung di Kuantan, Pahang. Oleh itu, PESAKA akan berbincang untuk memilih sama ada diadakan di Semenanjung atau Borneo.

"Daripada segi persediaan, Malaysia bersedia untuk menganjurkan kejuaraan itu yang menghimpunkan pesilat terbaik." 

 Megat Zulkarnain berkata demikian pada majlis penutup Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, semalam.

Pada kejuaraan itu, Selangor muncul johan selepas mengutip lima pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Naib johan milik Pahang dengan empat emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala ketiga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa pulang tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.    

Pesilat Putra dan Putri Terbaik, masing-masing diraih oleh Mohamad Hafiz Halim dari Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia dan Nur Sya fiqah Hamzah (Pahang).

Pesilat yang muncul johan setiap kategori kejuaraan bakal berentap dengan pesilat negara bagi menilai prestasi sebelum diserapkan dalam skuad kebangsaan.

 "PESAKA juga akan menilai pesilat yang muncul naib johan sama ada mereka akan dipilih untuk beraksi dengan pesilat negara berdasarkan kriteria ditetapkan," katanya.

Berita Harian X