Ahad, 17 March 2019 | 8:42pm
TIMBALAN Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (kanan) bersama Setiausaha Agung Persatuan Silat (PESAKA) Pahang, Datuk Osman Nok. - Foto Asrol Awang
TIMBALAN Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (kanan) bersama Setiausaha Agung Persatuan Silat (PESAKA) Pahang, Datuk Osman Nok. - Foto Asrol Awang

Johan bakal lawan pesilat negara

KUANTAN: Pesilat muncul johan setiap kategori dalam Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, pada 26 hingga 30 Mac ini, bakal berentap dengan pesilat negara bagi menilai prestasi sebelum diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, ia peluang terbaik buat pesilat muda membuktikan ketangkasan apabila bersaing dengan pesilat berpengalaman.

"Kita percaya kejohanan silat kebangsaan ini akan melahirkan pesilat berkaliber untuk mewakili negara pada masa depan.

"Sebab itu, PESAKA tidak membenarkan pesilat negara menyertai kejohanan ini kerana ia lebih kepada mencari pelapis bagi dalam skuad negara.

"Sebaik mereka bertemu pada kejohanan itu nanti, kita dapat menilai tahap persediaan mereka sama ada mampu bersaing di peringkat lebih tinggi iaitu di pentas Asia atau Asia Tenggara," katanya.

Md Sohaimi berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Persatuan Silat (PESAKA) Pahang, Datuk Osman Nok.

Pada kejohanan kali ini, beliau mengesahkan 756 pesilat daripada 21 kontinjen akan memeriahkan kejohanan itu bagi merebut 26 pingat emas dipertandingkan.

"Buat kali pertama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pesilat mereka selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tiga badan pensendirian dan ahli gabungan PESAKA.

"Tiga badan berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM)," katanya.

Berita Harian X