Rabu, 13 March 2019 | 5:35pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim (kiri) pada sidang media pelancaran Cabaran TSM, sebentar tadi. - Foto Nik Hariff Hassan
PENGERUSI Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim (kiri) pada sidang media pelancaran Cabaran TSM, sebentar tadi. - Foto Nik Hariff Hassan

Golf Cabaran TSM kembali

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun menghilang, akhirnya Cabaran Tan Sri Muhyiddin (TSM) yang satu ketika pernah menjadi 'kilang' dalam melahirkan ramai pemain golf negara kembali diadakan pada 25 hingga 28 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata menjengah edisi ke-11 saingan, pihaknya terus komited dalam melahirkan pemain muda amatur yang disegani.

"Kejohanan ini bertujuan menggilap bakat muda golf tertumpu kepada pemain berusia bawah 21 tahun dengan syarat utama pemain tempatan yang berminat menyertai kejohanan ini perlu berada dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

"Tidak banyak perubahan selain menjadikan TPC Kuala Lumpur sebagai gelanggang pertandingan kali ini berbanding tradisinya di Kelab Golf Glenmarie," katanya dalam sidang media pelancaran Cabaran TSM sebentar tadi.

Setakat ini, Wan Shalihudin mengesahkan seramai 12 pemain remaja lelaki negara dan enam bagi wanita akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000 berupa biasiswa untuk menjalani latihan di akademi terpilih.

Juara kategori lelaki akan membawa pulang hadiah biasiswa RM25,000 manakala tempat kedua RM15,000 dan RM10,000 (ketiga). Bagi wanita pula juara menerima sebanyak RM20,000, kedua (RM10,000) dan ketiga (RM5,000).

Antara nama besar pemain tempatan yang lahir daripada kejohanan mula dianjurkan pada 2006 itu aadalah Ainil Johari Bakar, Nur Durriyah Damian serta Gavin Kyle Green yang kini menjadi pemain profesional bertaraf dunia.

Berita Harian X