Rabu, 6 March 2019 | 7:18pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

Stadium ragbi negara dibina di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Selepas ditangguhkan beberapa kali, kerajaan Pusat akhirnya bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM17 juta bagi pembinaan stadium ragbi negara kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata stadium itu akan dibina di Presint 14, Putrajaya dengan kerja fizikal di tapak berkeluasan 6.47 hektar itu dijangka bermula November ini.

"Peruntukan ini juga akan merangkumi pembinaan dua padang ragbi yang mengikut spesifikasi pertandingan dan latihan, lampu limpah berkuasa 1,200 lux, bilik persalinan dan beberapa kemudahan lain.

"KBS sedang dalam proses mengemukakan pindaan lokasi projek kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai pemindahan semula lokasi projek dari Kuala Lumpur Sport City (KLSC) ke Putrajaya," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KBS di sini, hari ini.

Selain itu, Syed Saddiq berkata KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah bersetuju untuk menaikkan pangkat pasukan ragbi wanita 7 sebelah kebangsaan daripada sistem Tier 4 ke Tier 3.

"Dengan keputusan ini bermakna pemain pasukan ragbi wanita 7 sebelah negara akan menerima elaun, latihan serta beberapa kemudahan atlet sepenuh masa.

"KBS juga komited untuk melaksanakan program latihan intensif bagi persediaan pasukan ragbi wanita 7 sebelah kebangsaan ke Sukan SEA Manila 2019 dengan syarat semua pemain mendapat pelepasan sepenuh masa dari majikan masing- masing," katanya.

Syed Saddiq berkata menerusi inisiatif ini membuktikan bahawa KBS sentiasa menyokong agenda pemerkasaan wanita khususnya di dalam bidang sukan yang mampu menarik minat mereka untuk membabitkan diri serta memainkan peranan ke arah pembangunan sukan tanah air.

Berita Harian X