Jumaat, 1 March 2019 | 9:13pm
SYED Saddiq (kanan) bersama Muhamad Luqman ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kejohanan Kelayakkan FIFA eWorld Cup di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Foto Luqman Hakim Zubir
SYED Saddiq (kanan) bersama Muhamad Luqman ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kejohanan Kelayakkan FIFA eWorld Cup di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Foto Luqman Hakim Zubir

E-sukan mampu sumbang 3 pingat Sukan SEA Filipina

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis sukan elektronik (e-sukan) mampu menyumbang tiga pingat daripada enam acara yang dipertandingkan di Sukan SEA Filipina pada hujung tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia mempunyai pemain e-sukan bertaraf dunia yang berpotensi menyumbang pingat emas dalam kategori Tekken 7, Starcraft dan DOTA 2.

Justeru, katanya, KBS akan bekerjasama dengan Persatuan E-sukan Malaysia (ESM) untuk memanggil semua pemain terbabit bagi persiapan ke Sukan SEA nanti.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan JalurGemilang kepadapemaine-sukan, Muhamad Luqman Haziq Hajiman ke kejohanan kelayakan e-PialaDunia FIFA di Singapura, di sini hari ini.

Selain DOTA 2, Starcraft dan Tekken 7, tiga lagi e-sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Filipina adalah Arena of Valor (AoV), Mobile Legends dan NBA 2019.

Berhubung ketiadaan e-sukan FIFA, Syed Saddiq berkata, permainan video tersebut itu dipertandingkan pada Sukan SEA seterusnya.

"FIFA adalah permainan video yang popular di seluruh dunia. Mungkin di Manila tidak dipertandingkan tetapi di Sukan SEA akan datang, ia wajib dimasukkan, yang mana ia bukanlah sebagai sukan demo, tetapi sebagai sukan yang menawarkan pingat," katanya.

Sementara itu, Muhammad Luqman atau dikenali sebagai Fenrir adalah wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara bagi menggalas cabaran di kejohanan FIFA e-Piala Dunia.

Fenrir berkata sokongan daripada pihak KBS memberikan beliau semangat dan tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.

-- BERNAMA

Berita Harian X