Isnin, 18 Februari 2019 | 4:39pm
Shahrul Zaman berucap pada sidang media Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sepasukan (MCKK Premier 7s) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Shahrul Zaman berucap pada sidang media Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sepasukan (MCKK Premier 7s) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

KRM setuju stadium ragbi pertama dibina di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Stadium ragbi pertama di negara ini yang cadangan pembinaannya diluluskan kira-kira dua tahun lalu, kemungkinan besar akan dibina di Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil berbanding Putrajaya sebelum ini.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata cadangan pembinaan yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu sudah dibawa kepada perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dengan satu lagi pertemuan bagi membincangkan isu itu akan diadakan pada minggu hadapan.

"Perbadanan Putrajaya pun sudah luluskan tanah (di Putrajaya). Cuma pada masa pertemuan terbabit, menteri (Syed Saddiq) tanya sama ada kami bersetuju jika venue ditukar semula ke Bandar Sukan Kuala Lumpur. Kami jawab kalau pindah ke situ, kami lagi suka.

“Sebab kedudukannya terletak di pusat berdekatan dengan kemudahan lain seperti Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Daripada segi pengangkutan pun mudah, cuma kalau disitu hanya ada satu padang sahaja akan dibina," katanya selepas sidang media Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sepasukan (MCKK Premier 7s) 2019 di sini hari ini.

Shahrul Zaman berkata kelulusan pembinaan stadium ragbi dengan kapasiti 5,000 ke 10,000 tempat duduk itu diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, lokasi yang dipersetujui ketika itu adalah di Presint 11, Putrajaya manakala peruntukan pembinaan sebanyak RM10 juta diluluskan secara prinsip oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Sudah tentu kos pembinaan akan meningkat (pada masa ini). Kita sudah menyatakan persetujuan jika berpindah ke Bukit Jalil. Mengenai satu padang (akan dibina), kita tak ada masalah sangat kerana kita masih belum tahu lokasi sebenar namun di sekeliling situ ada banyak padang seperti di MSN," katanya.

Shahrul Zaman berkata cadangan asalnya pembinaan stadium di Putrajaya dengan satu padang manakala satu lagi padang latihan akan dibina bagi membolehkan sesi pemanas badan dilakukan terutama sekali membabitkan pertandingan tujuh sebelah.

Terdahulu, penganjur MCKK Premier 7s mengumumkan sebanyak 22 pasukan tempatan sementara dua pasukan dari luar iaitu Shizuoka Seiko Academy dari Jepun dan Agoal Rugby Academy (Sri Lanka) akan menyertai kejohanan edisi kesembilan yang diadakan di Padang Ragbi, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak selama tiga hari bermula 1 Mac ini.

"Tidak ragu-ragu lagi, MCKK Premier 7s antara platform utama dalam ketengahkan bakat yang ada dalam pembentukan skuad kebangsaan. Contohnya pada tahun lalu, skuad remaja ragbi 7s kebangsaan sekali lagi memenangi Kejuaraan Ragbi Bawah 18 (B-18) Asia di Johor Baharu," katanya.

Berita Harian X