X
Ahad, 17 Februari 2019 | 6:16pm

Senarai nama pelumba kebangsaan ke LTdL Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengumumkan senarai nama lapan pelumba yang bakal menyarung jersi Malaysia di Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) selewat-lewatnya Jumaat ini.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lapan nama termasuk seorang bekas pelumba pasukan Forca Amskins Racing, Nik Mohd Azwan Zulkiflie untuk mewakili Malaysia pada LTdL kali ini.

Abu Samah berkata, pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dan aksi cemerlang dipamerkan mereka ketika dua sesi ujian saringan dibuat PKBM, baru-baru ini.

"Saya memang sudah ada senarai nama pelumba yang bakal menyarung jersi kebangsaan di LTdL 2019 nanti namun senarai akhirnya akan dimuktamad dan diumumkan dalam tempoh sehari dua lagi.

"Biarpun kebanyakan jaguh basikal lebuh raya terbaik Malaysia sudah disambar Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Cycling Team (TSG), namun pelumba bakal dipilih nanti tetap mampu memberikan saingan kepada pasukan tempatan dan antarabangsa," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Abu Samah mengesahkan secara dasar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) sudah bersetuju dengan cadangan penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd (Human Voyage) menuda LTdL ke tarikh baharu dari 6-13 April 2019 berbanding jadual asal, 24-31 Mac ini.

Malah, Abu Samah berkata beliau difahamkan sehingga kini lebih 22 pasukan tempatan dan luar negara sudah menghantar surat dan menyatakan minat menyertai perlumbaan berkenaan.

"Saya berharap Human Voyage dapat memberikan senarai penuh pasukan tempatan dan luar negara yang bakal menyertai LTdL pada mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Induk Program LTdL 2019 akan datang.

"Ini kerana mengikut peraturan UCI, senarai penuh nama pelumba dan pasukan yang bakal menyertai mana-mana siri jelajah perlu diumumkan selewat-lewatnya 20 hari sebelum perlumbaan sebenar bermula," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi memudahkan mereka membuat tempahan tiket penerbangan dan bilik penginapan serta pengangkutan untuk keperluan pelumba, pegawai dan pasukan sokongan.

Berita Harian X