Sabtu, 16 Februari 2019 | 7:54pm
PENGURUS pasukan Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit.
PENGURUS pasukan Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit.

LTdL lebih mencabar jika ada laluan Genting Highlands

 

KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL) menjadi lebih mencabar dan menarik selepas penganjurnya, Human Voyage (M) Sdn Bhd (Human Voyage) dijangka memasukan semula Genting Highlands sebagai satu daripada laluan perlumbaan jelajah terbesar Asia itu.

Pengurus pasukan Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit berkata pihaknya tidak sabar menunggu pengumuman rasmi sama ada laluan Genting Highlands dimasukkan atau tidak dalam perlumbaan LTdL.

Sayuti berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan senarai penuh pelumba selepas penganjur membuat pengumuman rasmi mengenai laluan jelajah itu minggu ini.

"Saya ucapan tahniah kepada penganjur sekiranya mereka berjaya memasukkan semula Genting Highlands sebagai laluan peringkat perlumbaan.

"Jika ia menjadi realiti maka perlumbaan kali ini pasti menjadi lebih menarik dan mencabar kerana semua pasukan akan berebut-rebut berusaha memenangi peringkat Genting Highlands yang biasanya bakal menentukkan pasukan dan pelumba terbaik keseluruhannya," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan LTdL yang dijadual dari 24 hingga 31 Mac ini ditunda ke April oleh Jemaah Menteri berikutan pertembungan dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA '19). 

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, tindakan itu kerana ada keperluan untuk memastikan penganjuran terbaik bagi kedua-dua acara penting itu mendapat liputan meluas dan berkesan daripada media tempatan dan antarabangsa serta penajaan terbaik. 

Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program LTdL 2019 dihadiri KBS, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Human Voyage sebulat suara memutuskan siri jelajah terbesar di Asia berkenaan ditunda ke tarikh baharu iaitu dari 6 hingga 13 April 2019. 

Bagaimanapun, Lokman Hakim berkata pihak penganjur melalui PKBM perlu menghantar surat permohonan rasmi kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menunda tarikh berkenaan.

Berita Harian X