Sabtu, 16 Februari 2019 | 12:44pm
ANTARA peserta yang menyertai program Kayuhan Terengganu Cycling Team (TSG) Yellowride 2019 di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori
ANTARA peserta yang menyertai program Kayuhan Terengganu Cycling Team (TSG) Yellowride 2019 di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Lebih 2,000 meriahkan kayuhan TSG Yellowride

KUALA TERENGGANU: Seramai 2,019 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program Kayuhan Terengganu Cycling Team (TSG) Yellowride 2019 di sini, hari ini.

Kayuhan yang bermula di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini sejauh 100 kilometer (km) itu turut disertai pelumba Terengganu TSG Inc.

Kayuhan edisi kali kedua itu denan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan membudayakan aktiviti kesihatan termasuk melalui aktiviti berbasikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program ini juga adalah serampang dua mata yang juga bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelumba.

"Program ini juga bertujuan untuk mempromosi keindahan Terengganu khususnya kepada peserta luar negara serta sempena pasukan Terengganu Inc TSG Cycling Team yang berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi jersi kuning dan pemenang keseluruhan di Le Tour De Langkawi 2018.

"Sambutan kali ini begitu meriah berbanding kali pertama diadakan pada 2017 yang hanya disertai 1,300 peserta," katanya selepas melepaskan peserta di Dataran Pantai Batu Buruk yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk meneruskan program berkenaan selepas melihat sambutan yang begitu meriah kalangan peserta setiap kali program kayuhan diadakan.

"Kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan program kayuhan terbesar selepas ini, bagaimanapun ia bergantung kepada kewangan kerajaan negeri," kata Wan Sukairi.

Berita Harian X