Khamis, 14 Februari 2019 | 8:49pm
Lokman Hakim (tengah) menunjukkan peta laluan LTdL 2019 pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program LTdL 2019 di Menara KBS, Putrajaya. - NSTP/Azhar Ramli
Lokman Hakim (tengah) menunjukkan peta laluan LTdL 2019 pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program LTdL 2019 di Menara KBS, Putrajaya. - NSTP/Azhar Ramli

PKBM akur tarikh LTdL 2019 ditunda

PUTRAJAYA: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang dijadual dari 24 hingga 31 Mac ini ditunda ke April oleh Jemaah Menteri berikutan pertembungan dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA '19). 

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, berkata kerajaan berbuat demikian kerana melihat ada keperluan untuk memastikan penganjuran terbaik bagi kedua-dua acara penting itu mendapat liputan meluas dan berkesan daripada media tempatan dan antarabangsa serta penajaan terbaik. 

Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program LTdL 2019 yang dihadiri oleh wakil KBS, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Human Voyage (M) Sdn Bhd (Human Voyage)  sebulat suara memutuskan siri jelajah terbesar di Asia berkenaan ditunda ke tarikh baharu iaitu dari 6 hingga 13 April 2019. 

Bagaimanapun, Lokman Hakim berkata pihak penganjur melalui PKBM perlu menghantar surat permohonan rasmi kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menunda tarikh berkenaan.

"Pemilihan tarikh baharu ini turut mengambil kira kalendar perlumbaan UCI dan ACC serta pertembungan dengan hari terakhir Tour of Thailand. 

"Saya yakin bahawa pihak penganjur mampu membawa banyak pasukan bertaraf terbaik untuk menyertai LTdL 2019 kerana imejnya sudah cukup gah biarpun tarikh berkenaan bertembung dengan hari terakhir Tour of Thailand," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini sebentar tadi. 

Mengulas lanjut, Lokman Hakim berkata kerajaan akan memberikan peruntukan kepada LTdL 2019 jumlah sama seperti tahun lalu iaitu RM8 juta tetapi kerajaan memberikan penekanan kepada penjimatan. 

"Kita juga akan memanfaatkan LTdL 2019 merangkumi lapan laluan utama termasuk Langkawi, Genting Highlands dan Cameron Highlands untuk mempromosikan kawasan tarikan pelancong, khazanah negara, tempat bersejarah dan, keunikan ekosistem kepada seluruh dunia," katanya. 

Sementara itu, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, berkata pihaknya terpaksa akur dengan keputusan itu kerana mendapat arahan Kabinet dan sedia membantu penganjur mendapatkan kelulusan UCI dan ACC untuk menukar tarikh LTdL 2019 secepat mungkin. 

"Kalau Kabinet arahkan kita untuk menunda tarikh LTdL apa daya PKBM untuk menolaknya. Jadi kita terpaksa bersetuju untuk cari tarikh sesuai. 

"Kita tidak boleh terima cadangan asal mereka dari 27 April hingga 4 Mei 2019 kerana mengambil kira tarikh berkenaan hampir dengan Ramadan. Jadi kita cadangkan 6 hingga 13 April 2019," katanya.

Berita Harian X