Khamis, 7 Februari 2019 | 12:26am
KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mahu bida tuan rumah Hoki Piala Dunia Lelaki.

MHC bida anjur Piala Dunia Lelaki

KUALA LUMPUR: Malaysia sah mengemukakan tawaran membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki akan datang.

Bidaan itu dibuat menerusi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sebelum tarikh tutup pada 31 Januari lalu.

Malah, FIH dalam kenyataan hari ini mengesahkan selain Malaysia, beberapa negara lain seperti India, Sepanyol dan Jerman turut menawarkan diri untuk membida Piala Dunia bagi lelaki.

"FIH menerima banyak bidaan daripada beberapa negara. Ini mengesahkan bahawa acara kami ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Kami kini tidak sabar untuk melihat dua Piala Dunia yang hebat, untuk lelaki dan wanita," kata Ketua Pengawai Eksekutif FIH, Thierry Weil.

Bagaimanapun, Malaysia menjadikan 1 hingga 17 Julai 2022 sebagai tarikh pilihan untuk melangsungkan kejohanan hoki terbesar dunia itu  bersama Jerman dan Sepanyol ketika India berminat untuk menganjurkannya pada 13 hingga 29 Januari 2023.

Ini kerana, FIH sememangnya menetapkan dua tarikh pilihan - iaitu Julai 2022 dan Januari 2023  sebagai tarikh untuk dibida oleh mana-mana negara dengan mereka boleh menyatakan minat berdasarkan kesesuaian masa.

Bagi Piala Dunia wanita pula menyaksikan Jerman muncul satu-satunya negara yang menyatakan minat menganjurkannya pada Julai 2022 manakala Australia, India dan New Zealand memilih Januari 2023.

FIH kini akan memulakan proses penilaian terhadap bidaan bagi kedua-dua Piala Dunia lelaki dan wanita dengan keputusan akhir akan dibuat oleh Lembaga Eksekutif badan induk itu pada Jun depan.

Berita Harian X