Rabu, 6 Februari 2019 | 9:06pm
NAIB Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam.
NAIB Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam.

'Terima kasih IPC'

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) kerana menghargai pencapaian luar biasa Mohamad Ridzuan Puzi.

Pengiktirafan selaku Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 kepada Ridzuan itu diharap menjadi pemangkin semangat untuk menjadikan atlet kelahiran Perlis itu lebih cemerlang.

"Kita bangga akan kejayaan ini. Terima kasih kepada IPC kerana menghargai pencapaian Ridzuan. Ini juga kali pertama atlet para Malaysia memenangi anugerah peringkat Asia.

"Prestasi Ridzuan semakin bertambah baik, seperti kita dapat lihat di Rio, Jakarta dan sebagainya. Jadi kita harap dia dapat meneruskan di Sukan Para ASEAN dan Paralimpik Tokyo 2020.

"Apa yang kita harapkan dia dapat menambah baik prestasi kerana dia mempunyai potensi untuk berbuat demikian," kata Naib Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam.

Awal pagi tadi, atlet para negara, Ridzuan mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.

Anugerah berkenaan diterima daripada Presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed pada majlis yang berlangsung di Dubai.

Atlet yang turut dikenali sebagai Dik Wan serta meraih tiga emas di Sukan Para Asia di Jakarta muncul atlet pertama Malaysia diberi pengiktirafan itu.

Mengulas lanjut, Subramaniam percaya Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara dan barisan jurulatih mempunyai cara tersendiri untuk membimbing Ridzuan.

"Dia di bawah jagaan MSN dan jurulatih, jadi mereka tahun cara untuk aturkan program supaya Ridzuan tidak mengalami kecederaan. Dia juga menerima bantuan daripada ISN yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang dan perubatan, jadi mereka tahu cara untuk meningkatkan prestasinya," katanya.

Berita Harian X