Isnin, 4 Februari 2019 | 6:48pm
ABU Samah Abd Wahab
ABU Samah Abd Wahab

Tunda tarikh calar imej LTdL 2019

KUALA LUMPUR: Selain imej negara yang bakal tercalar, cadangan pindaan tarikh yang diusulkan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Human Voyage (M) Sdn Bhd bakal memberi kesan jangka masa panjang kepada perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Asia berstatus Hors itu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata pada dasarnya cadangan itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap syarikat yang menghantar permohonan tender sudah mengetahui tarikh penganjuran LTdL yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) setahun sebelumnya.

"Berdasarkan masa yang sangat terhad, setiap syarikat yang menghantar permohonan tender sudah mengetahui dengan jelas bilakah perlumbaan akan berlangsung dan sepatutnya jelas dengan risiko yang bakal diambil (untuk menganjurkan LTdL) dalam penganjuran tahun ini. Dalam borang awal permohonan (tender) pun, sudah jelas tarikh perlumbaan yang perlu dilangsungkan dan memanglah tidak adil bagi syarikat lain yang memohon (tender penganjuran) jika tarikh diubah.

"Jika betul tarikh perlumbaan diubah, perkara ini akan menjejaskan banyak perkara dan misalnya ia diubah pada Jun nanti maka kesannya akan dirasai pada tahun 2020 dan seterusnya kerana kita perlu menganjurkannya pada tarikh yang sama pada bulan Jun selepas ini," katanya kepada BH Sukan di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan tarikh LTdL yang julung kali diadakan pada tahun 1996 adalah berikutan tarikh perlumbaan pada awal tahun dapat menarik banyak pasukan handalan dari Eropah berikutan musim perlumbaan di Eropah yang masih belum bermula.

"Katakanlah nanti tarikh diubah kepada Jun, maka masalah lain timbul kerana sukar bagi kita menjemput pasukan berstatus World Team (divisyen 1) kerana tarikh pertandingan mereka sudah ditetapkan lebih awal dan pastinya mereka akan mendahulukan perlumbaan Jelajah Dunia dahulu.

"Seperti sekarang, kita tidak ada masalah sebenarnya mendapatkan pasukan untuk turut serta kerana semua pasukan sudah tahu tarikh LTdL lebih awal dan boleh datang ke sini mengikut program masing-masing sebelum kalendar perlumbaan di Eropah bermula," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau dimaklumkan cadangan penundaan LTdL yang sepatutnya dilangsungkan pada 26 hingga 30 Mac depan oleh Human Voyage dilakukan disebabkan pertindihan dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Mac depan.

Abu Samah berkata, setakat ini tiga pasukan dari negara ini - pasukan kebangsaan, Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) serta empat lagi jemputan skuad lebuh raya kebangsaan dari Jepun, Korea Selatan, China dan Indonesia sudah mengesahkan kehadiran.

"Kami baru sahaja memaklumkan kepada penganjur (Human Voyage) bahawa kami sudah menyenaraikan tujuh skuad berbasikal yang sudah dijemput bagi pihak PKBM. Sekarang ini penganjur hanya perlu mencari sekitar 15 pasukan sahaja lagi untuk melengkapkan sekurang-kurangnya 22 pasukan yang bertanding.

"Takkanlah kami juga yang perlu membuat kerja memilih 15 pasukan lagi walaupun kami sebenarnya sudah menerima dalam 41 ke 42 pasukan luar yang sudah menyatakan minat untuk bertanding dalam perlumbaan kali ini," katanya.

Beliau berkata selain hal tarikh penganjuran, Human Voyage dikatakan membuat permohonan menukar laluan perlumbaan yang mana berbeza daripada apa yang dibentangkan syarikat itu ketika memohon hak penganjuran yang mana laluan perlumbaan lapan peringkat itu nanti sepatutnya bermula di Pulau Langkawi melalui Pulau Pinang dan mendaki Genting Highlands sebelum berakhir di Kuala Lumpur.

"Kita tunggulah nanti pada 14 Februari ini sepatutnya satu mesyuarat penyelarasan teknikal yang membabitkan banyak jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelbagai jabatan kerajaan lain akan berlangsung. Nanti kita lihat macam mana perkembangan dari situ," katanya.

Berita Harian X