Rabu, 30 Januari 2019 | 9:41pm
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Voyage perlu kerja 24 jam sehari

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan acara, Human Voyage (M) Sdn Bhd (Voyage) perlu bekerja 24 jam sehari jika mahu melihat penganjuran siri jelajah basikal terbesar Asia, Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) berjalan mengikut jadual asal mulai 24 hingga 31 Mac ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata tindakan itu perlu kerana masa yang ada sekarang terlalu singkat iaitu kira-kira 52 hari sahaja sebelum perlumbaan paling berprestij di Asia berkenaan berlangsung.

Justeru, Abu Samah berharap Voyage menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk mengotakan janji dibuat mereka ketika membentangkan kertas kerja kepada jawatankuasa khas tender sebelum dipilih sebagai pemenang bidaan terbuka selaku kontraktor (penganjur) LTdL 2019 hingga 2021.

"Malah, saya tidak boleh terima alasan diberikan pihak Vayoge yang meminta PKBM mengemukakan permohonan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menunda perlumbaan ke satu tarikh lain dengan alasan masa terlalu suntuk (tidak sampai 2 bulan).

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana semasa membentangkan kertas kerja kepada jawatankuasa pemilihan kontraktor LTdL 2019-2021 sebelum ini mereka sudah menyatakan kesediaan dan berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan perlumbaan siri jelajah terbesar di Asia berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Jadi sekarang apa yang perlu mereka lakukan sekarang ialah kerja '24 jam' sehari bagi memastikan segala persiapan penganjuran LTdL 2019 termasuk dari aspek pengangkutan, penginapan dan keselamatan pelumba dan pengurusan pasukan serta wakil media yang membuat liputan siri jelajah terbabit dapat diuruskan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi wartawan sukan NSTP, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Abu Samah berkata Vayoge juga perlu memastikan jumlah pasukan yang menyertai perlumbaan itu tidak kurang daripada 22 pasukan seperti tahun lalu termasuk bertaraf Pro Tour; Pro Continental, International Continental dan pasukan tempatan bagi meningkatkan mutu dan kemeriahan perlumbaan tahun ini.

Justeru, Abu Samah berharap Vayoge perlu menghantar jemputan dan membuat pengesahan secepat mungkin kerana semua pasukan berkenaan sudah sedia maklum mengenai perlumbaan itu berikutan ia memang dimasukkan dalam kalendar UCI.

"Saya juga berharap mereka sudah menghubungi dan mendapatkan kebenaran pihak pengurusan Genting Highlands dan polis jika mahu kawasan tanah tinggi berkenaan menjadi salah satu peringkat dan laluan perlumbaan.

"Saya bimbang mereka lambat berbuat demikian maka masalah lain akan timbul di kemudian hari," katanya.

Berita Harian X