Selasa, 29 Januari 2019 | 5:57pm

TSG raih kedudukan pertama Jelajah Asia

KUALA LUMPUR: Terengganu Inc. Tsg Cycling Team (TSG) mendapat suntikan semangat menjelang musim baru apabila berada pada kedudukan pertama Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menerusi kemaskini dikeluarkan UCI pada Ahad lalu, pasukan bertaraf benua dari Terengganu berkenaan mengumpul 1577.50 mata untuk berada kedudukan teratas manakala sebuah lagi pasukan negara, Sapura Cycling Team berada kedudukan kedua dengan 1128 mata.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, ranking terbaru sebelum menyertai perlumbaan pertama 2019 di Filipina pada minggu depan memberikan kelebihan dan semangat kepada mereka terus berjuang mengekalkannya sehingga berakhir musim ini.

"Terdapat beberapa perubahan peraturan baru dilaksanakan UCI tahun ini termasuk pengiraan mata dan kedudukan ranking. Jadi selepas mata diraih pelumba musim lalu dikumpulkan, pasukan berada pada kedudukan pertama untuk peringkat awal musim ini.

"Sasaran awal bagi musim 2019 adalah berada pada kedudukan ketiga namun dengan keadaan semasa, kita akan cuba sebaik mungkin mengekalkan tempat pertama sehingga hujung tahun nanti," jelasnya.

Secara tidak langsung menurut Nasiruddin, kedudukan tiga teratas membolehkan mereka mendapat jemputan secara automatik daripada mana-mana penganjur di benua ini.

"Jadi kita tidak perlu merayu menyertai sebarang perlumbaan. Ia turut membantu kita dalam merencanakan strategi terbaik membantu negara meraih kemenangan dan mata untuk Malaysia layak ke Olimpik Tokyo nanti," tambahnya.

TSG kendalian Jeremy Hunt dilihat salah sebuah pasukan perlu dihormati musim ini dengan laman web UCI menyenaraikan senarai pelumba berkualiti dimiliki mereka.

Pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Artem Ovechkin dari Russia mengetuai senarai selain Eyob Metkel (Eritrea), Maral-Erdena Batmunkh (Mongolia) serta gandingan adik beradik, Mohd Zamri dan Harrif Saleh.

Malah mereka menguatkan pasukan tahun ini apabila menerima kembali pelumba dari Australia, Drew Morey dan terbaru kehadiran pelumba bintang Youcef Reguigui dari Algeria yang pernah meraih jersi kuning LTdL 2015.

Berita Harian X