Rabu, 16 Januari 2019 | 5:55pm
Kompleks Sukan Komuniti Jerlun yang disediakan kerajaan sejak 2016 memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Jerlun bagi melakukan aktiviti sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat di Jerlun. Kompleks bernilai RM5.1 juta menyediakan kemudahan gelanggang futsal, badminton, bola keranjang, sepak takraw dan gelanggang serbaguna. - Foto BERNAMA

Bangunkan semula kompleks sukan gajah putih

JERLUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan inisiatif pembangunan semula kemudahan dan kompleks sukan di negara ini yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengelakkan ia menjadi projek gajah putih.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata pihaknya mendapati wujud kemudahan sukan di negara ini yang sekadar dibina berdasarkan kepentingan politik sedangkan ia tidak dapat memanfaatkan golongan belia.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan melihat semula perkara itu dengan menyesuaikan kemudahan sukan di sesuatu lokasi dengan kehendak golongan muda di situ.

"Kita dapati ada kompleks sukan yang penggunaannya rendah atau tidak aktif jadi kita akan membuat kajian semula dan melihat apa yang penduduk di situ perlukan sebagai contoh kita ada gelanggang futsal tetapi orang di situ minat bandminton, maka perlu ada pembangunan semula.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (enam, kiri) meninjau persekitaran Kompleks Sukan Komuniti Jerlun, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kedah, Mohd Salleh Ramli. Kompleks bernilai RM5.1 juta menyediakan kemudahan sukan kepada penduduk sekitar Jerlun, antaranya gelanggang futsal, badminton, bola keranjang, sepak takraw dan gelanggang serbaguna. - Foto BERNAMA

"Ini kerana ada kewujudan kompleks sukan ini didorong oleh pengaruh politik sebelum ini sebagai contoh apabila Ahli Parlimen itu mahu ia dibina sedangkan tiada permintaan di situ.

"Kita mahu memaksimumkan duit cukai rakyat dengan memastikan kemudahan sukan ini digunakan sepenuhnya, kita tak mahu bina projek gajah putih," katanya selepas melawat Kompleks Sukan Komuniti Jerlun, di sini.

Pada masa sama, Chee Keong berkata, cadangan KBS untuk mewujudkan Kerangka Kemudahan Sukan sebelum ini dijangka mampu menyelesaikan risiko projek gajah putih apabila setiap pembinaan mana-mana kompleks sukan akan dikaji dulu berdasarkan penilaian objektif dan saintifik.

Katanya, ia termasuk mengambil kira soal kepadatan penduduk dan kecenderungan sukan yang diminati mereka sebelum pembinaan mana-mana kemudahan itu dimulakan.

"Apabila saya melawat sesetengah tempat, ada kemudahan sukan ini penggunaannya amat rendah jadi kita kena buat kajian jika sesuatu kawasan itu hanya sekitar 500 penduduk akan menggunakannya jadi tidak perlu kita melabur untuk membina kompleks dengan kapasiti 10,000.

"Selain itu, melalui kerangka itu juga kita akan menekankan soal penyelenggaraan jangka masa panjang sebab ada juga kemudahan sukan yang dibina tanpa perancangan penyelenggaraan menyebabkan bumbung rosak dan kerosakan serius dibiarkan saja," katanya.

Berita Harian X