Isnin, 14 Januari 2019 | 12:54am
PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Fitri Saari (tengah) diasak pemain TNB Thunderbolts, Muhammad Rifqi Wan Ripin (kiri) pada aksi Liga Hoki Malaysia TNB-MHL di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Fitri Saari (tengah) diasak pemain TNB Thunderbolts, Muhammad Rifqi Wan Ripin (kiri) pada aksi Liga Hoki Malaysia TNB-MHL di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Ghazali Kori

THT tundukkan TNB Thunderbolts

 

KUALA TERENGGANU: Juara Piala Sumbangsih musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah mengutip tiga mata apabila menundukkan TNB Thunderbolts 4-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad bimbingan I Vikneswaran itu terpaksa menunggu sehingga suku kedua perlawanan menerusi pukulan penalti penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-18.

Dua minit berselang, pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun melepaskan peluang keemasan mencetak nama sebagai penjaring selepas gagal melakukan penyudah sempurna pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-24, bekas 'mesin' pencetak gol THT 2017 dengan 28 gol itu berjaya menebus kembali kesilapannya apabila meledak jaringan kedua pasukan menerusi pukulan sudut penalti.

Pelawat yang dibimbing Nor Azlan Bakar berpeluang merapatkan kedudukan selepas mendapat pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-30, tapi Muhammad Aminuddin Mohd Zain gagal meletakkan bola ke dalam gawang gol yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Hafizuddin Othman.

Pada minit ke-49, THT sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti selepas penjaga gol pelawat, Hairi Abdul Rahman mengasari pemain import THT, Jung Man Jie dan tolakan diambil kapten, Fitri Saari memastikan tuan rumah mengukuhkan kedudukan 3-0.

Ketika saingan berbaki beberapa saat untuk ditamatkan, bekas pemain kebangsaan Rashid Baharum menambah derita pelawat apabila meledak jaringan keempat pasukannya menerusi gol padang.

Sementara itu Vikneswaran lega apabila anak buahnya sudah mendapat rentak permainan dan serasi biarpun terpaksa menunggu sehingga pada suku kedua.

"Ini penanda bagus buat pasukan, malah keserasian mereka juga bertambah baik antara pemain tempatan dan import, namun semua posisi perlu diperbaiki lagi," katanya.

Berita Harian X