Ahad, 13 Januari 2019 | 4:50pm
PASUKAN Apa-Apa Jer menerima hadiah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan (lima dari kiri) pada Pertandingan Boling Alam Flora dan Media-Media Selangor di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini. - Foto ihsan Alam Flora

Pasukan Media Prima sapu bersih Pertandingan Boling Alam Flora

PETALING JAYA: Pasukan Media Prima Bhd (Media Prima) menyapu bersih tiga tempat teratas dalam Pertandingan Boling Alam Flora dan Media-Media Selangor di Sunway Mega Lanes, pusat beli-belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Kumpulan Metro Rangers (Harian Metro) muncul juara selepas menjatuhkan 1,209 pin sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan News TV3 yang mengumpul 1,196 jatuhan pin dan meraih wang tunai sebanyak RM1,600.

Kumpulan Apa-Apa Jer (BH) pula meraih tempat ketiga hasil jatuhan 1,044 pin dan membawa pulang wang tunai RM1,200.

Sebanyak 13 pasukan beraksi dalam pertandingan boling berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata pertandingan boling berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan dengan petugas media yang selama ini membuat laporan serta liputan membabitkan syarikat itu.

“Alam Flora sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan media selama ini dan berharap jalinan kerjasama akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya yang beraksi dalam kategori orang kenamaan (VIP).

Turut beraksi dalam kategori VIP ialah Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Berita Harian X