Khamis, 27 Disember 2018 | 11:43am
ROFIZLAN Ahmad. - Foto BERNAMA
ROFIZLAN Ahmad. - Foto BERNAMA

CIDB siapkan pelan tindakan Revolusi Perindustrian Keempat

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melalui anak syarikat milik penuhnya, CIDB e-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC), dijangka mewujudkan pelan tindakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) menjelang Januari 2020.

Pelan tindakan itu akan meliputi tempoh lima tahun bermula 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDBEC, Rofizlan Ahmad, berkata hala tuju itu bertujuan memberikan hala tuju jelas kepada peserta industri dan menyelaraskan program masa depan yang berkaitan dengan IR 4.0, terutamanya, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Katanya, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan, membabitkan pelbagai ahli daripada bidang berkaitan, iaitu Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Institut Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM).

"Jawatankuasa ini akan mengkaji status sektor pembinaan Malaysia dari segi tahap penerimaan BIM jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah melaksanakannya, termasuk United Kingdom, Perancis, Brazil dan Mexico.

"Kaji selidik berhubung penggunaan BIM dan rancangan masa depan negara juga akan digariskan untuk meningkatkan penggunaan BIM di kalangan peserta industri," katanya kepada BERNAMA.

BIM adalah teknologi pemodelan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Ia adalah proses berasaskan model tiga dimensi (3D) pintar yang memberikan arkitek, kejuruteraan, dan profesional pembinaan wawasan dan alat untuk merancang, merekabentuk, membina dan mengurus bangunan dan infrastruktur dengan cekap.

Rofizlan berkata, penggunaan BIM boleh menjimatkan kira-kira 15 hingga 20 peratus dalam peringkat perancangan dan reka bentuk, bergantung kepada reka bentuk dan pembinaan projek.

Visualisasi 3D juga mempunyai keupayaan untuk memberi perincian setiap infrastruktur dan butiran di dalamnya.

Rofizlan berkata, pelan tindakan BIM juga akan menekankan penggunaan integrasi berasaskan awan untuk teknologi BIM, yang adalah bentuk penerimaan tertinggi untuk BIM akreditasi Tahap 3.

"Memastikan setiap kakitangan untuk terbabit dalam platform berasaskan awan akan meningkatkan keupayaan analisis dan audit reka bentuk, kecekapan untuk pengeluaran reka bentuk dan pemahaman yang lebih baik berhubung sesuatu projek pada peringkat awal, antara lain.

"Ia juga membolehkan mereka berada di tempat yang berbeza dan dapat mengakses maklumat projek melalui platform awan. Selain itu, pelanggan dan pemilik bangunan juga boleh menilai reka bentuk dan pengubahsuaian yang dicadangkan dan membuat keputusan lebih cepat berhubung kelulusan," katanya.

CIDBEC adalah pusat rujukan untuk industri pembinaan, yang turut mengurus CIDB myBIM Centre, penyedia latihan berhubung BIM dan teknologinya, serta perkhidmatan lain seperti kemudahan sewa bilik, studio dan makmal. - BERNAMA

Berita Harian X