Rabu, 12 Disember 2018 | 11:23pm
ATLET wushu negara, Poon Eyin - Foto NSTP
ATLET wushu negara, Poon Eyin - Foto NSTP

Giliran Eyin raih emas

NAY PYI TAW: Atlet wushu negara, Poon Eyin menampilkan persembahan cemerlang apabila menyumbang pingat emas keempat kontinjen Malaysia di Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 menerusi acara kombinasi jianshu dan  qiangshu, hari ini.

Lebih mendebarkan, Eyin berjaya mengatasi saingan sengit atlet tuan rumah, Sandi Oo dengan perbezaan 0.01 mata manakala gangsa turut dimenangi seorang lagi atlet negara, Pang Pui Yee. 

Eyin yang ketinggalan 0.01 mata selepas disiplin jianshu beraksi tenang dalam acara qiangshu untuk mengutip 9.62 mata berbanding 9.60 mata yang diperoleh Sandi.

Lebih manis, ia adalah emas terakhir yang ditawarkan di gelanggang wushu pada hari terakhir di Stadium Tertutup Wunna Thiekdi.

Kejayaan memenangi empat emas, tujuh  perak dan empat gangsa menyaksikan wushu muncul pasukan pertama melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan kontinjen Malaysia.

“Kita tak jangka Poon Eyin dapat emas hari Ini kerana saingan atlet wushu Myanmar yang dilawan olehnya begitu kuat dan mempunyai kelebihan,” kata Pengurus skuad wushu negara, Shahrel Redza Dzahari.

“Aksi qiangshu dari Eyin amat menakjubkan dan mendapat mata tertinggi 9.62 dan Sandi yang terakhir beraksi mungkin tertekan sedikit dan hanya berjaya mengumpul 9.60 mata.”

Kontinjen negara turut menambah dua perak dan dua gangsa hari ini menerusi acara chanquan lelaki dan duilian Wanita. Acara Nanguan dan  Qingshu/Jianshu Wanita pula menyumbang gangsa.

 

 

Berita Harian X