Sabtu, 24 November 2018 | 8:09pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Terengganu lakar kejutan mara ke final

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu melakar kejutan melangkah ke peringkat akhir, Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan kali ke-40 selepas menewaskan Johor, 25-24, petang tadi.

Dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di Stadium Juara Bukit Kiara itu, Terengganu yang diketuai Che Huda Shakimah Che Shamsuddin berdepan tentangan sengit pasukan pilihan, Johor sehingga ke wisel penamat.

Kombinasi mantap di bahagian pertahanan serta tengah bagaimanapun berjaya membawa Terengganu ke perlawanan akhir untuk berdepan dengan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) esok. 

Bagi pengurus pasukan Terengganu, Noor Kumalasari Jamel, beliau berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang begitu komited memburu kemenangan, biarpun hanya turun menjalani latihan selama tempoh dua minggu. 

"Ia satu kejutan apabila kami berjaya mara ke perlawanan akhir. Pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk menang. 

"Namun, bertemu KL di perlawanan akhir memang sukar kerana sebelum ini, kami tewas kepada mereka di peringkat kumpulan (23-39).

“Pemain perlu mengurangkan kesilapan dan beraksi dengan bijak jika mahu muncul juara," katanya. 

Skuad KL pula kini berada di landasan tepat memburu gelaran hatrik musim ini selepas menjulang trofi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Kejohanan Remaja Kebangsaan.

Jurulatih KL, Norizan Rajab menegaskan, beliau akan melakukan beberapa perubahan pada pertembungan esok bagi mengekalkan rentak kemenangan pasukannya.

Di atas kertas, tampak mudah buat KL yang membariskan enam pemain kebangsaan berbanding Terengganu yang tidak mempunyai pemain kebangsaan, namun Norizan menasihatkan agar pemainnya untuk lebih fokus. 

"Bertemu Terengganu agak mudah sebab kami tahu rentak permainan mereka kerana sudah bertemu di peringkat kumpulan. 

"Tetapi, pemain perlu memperbaiki kelemahan dan memperkuatkan barisan pertahanan. Beberapa pertukaran akan dilakukan bagi memperbaiki kelonggaran di bahagian tengah dan pertahanan supaya lebih mantap," katanya.

 

Berita Harian X