Khamis, 22 November 2018 | 8:04pm
PEMAIN Kuala Lumpur, Nur Syafazliyana Mohd Ali (tengah) cuba menghalang pemain Terengganu, Hanisah Roslam pada aksi Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-40 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini. - Foto Aswadi Alias
PEMAIN Kuala Lumpur, Nur Syafazliyana Mohd Ali (tengah) cuba menghalang pemain Terengganu, Hanisah Roslam pada aksi Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-40 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Kuala Lumpur mula langkah kanan

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Kuala Lumpur bermula langkah kanan apabila memenangi dua perlawanan awal Kumpulan A menundukkan Negeri Sembilan dan Terengganu pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-40 di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Kuala Lumpur menewaskan Negeri Sembilan 39-24 sebelum mengatasi Terengganu 39-23.

“Kami menurunkan gabungan enam pemain senior dan enam pemain remaja yang baru sahaja merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia di Perak, September lalu.

“Sasaran kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan pada kejohanan penutup tahun ini sekali gus melengkapkan gelaran hatrik kami tahun ini,” kata jurulatih skuad bola jaring Kuala Lumpur, Norizan Rajab.

Tahun ini, pasukan bola jaring Kuala Lumpur sudah memenangi gelaran Kejohanan Remaja Kebangsaan dan SUKMA di Perak.

“Persiapan kami bagi kejohanan ini sebenarnya agak singkat dan terganggu disebabkan pusat latihan kami di Kompleks Sukan Kampung Pandan dinaiki air minggu lalu.

“Beberapa pemain senior kami juga ada yang sukar mendapatkan pelepasan daripada majikan,” katanya.

Edisi ke-40 Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini disertai 11 pasukan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KEPUTUSAN

Kumpulan A: Kuala Lumpur 39 Negeri Sembilan 24; Terengganu 45 Perlis 16; Sabah 49 Perlis 20; Kuala Lumpur 39 Terengganu 23

Kumpulan B: Johor 55 Melaka 18; PDRM 35 Pahang 46; Perak 34 Kedah 20; Johor 44 Pahang 31

Berita Harian X