Ahad, 21 Oktober 2018 | 1:21pm
KHAIRUL Hafiz Jantan

Khairul Hafiz kembali bakar trek

 

KUALA LUMPUR: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan akan kembali menguji kemampuannya selepas dua bulan berehat dengan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Innotek di Bukit Jalil, bulan depan. 

Kejohanan yang akan berlangsung dari 17 hingga 18 November itu menyaksikan kesemua atlet di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim akan mengambil bahagian.

Ia adalah kejohanan terakhir untuk semua atlet menguji keupayaan masing-masing pada musim ini, sebelum menyertai banyak kejohanan lebih besar pada 2019 termasuk Sukan SEA di Filipina.

Poad berkata, beliau tidak meletakkan sasaran khas kepada atlet bimbingannya, selain mahukan mereka sentiasa mempamerkan prestasi terbaik dan kekal konsisten dengan prestasi masing-masing.

Katanya, ketika ini semua atlet mengikuti rutin latihan seperti biasa dan beliau hanya mahukan semua atlet fokus terhadap larian masing-masing. 

“Ia adalah kejohanan penutup musim. Tiada sasaran. Saya hanya mahu mereka fokus supaya rentak larian masing-masing konsisten,” katanya. 

Mengulas mengenai perancangan tahun depan menjelang temasya Sukan SEA di Filipina, jurulatih terbaik 2017 itu berkata, setakat ini, beliau masih belum ada sebarang perancangan khas yang diatur untuk atlet negara.

Namun, Poad berharap barisan pelari pecutnya diberi peluang untuk berlatih di luar negara bagi meningkatkan prestasi mereka menjelang temasya dwi tahunan itu serta kejohanan yang lain.

Baginya, latihan itu adalah satu keperluan bagi menguji kemampuan pelarinya, terutama barisan kuartet - Khairul Hafiz, Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

 

 

Berita Harian X