Rabu, 3 Oktober 2018 | 7:29pm
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto/Owee Ah Chun

Subahan akui peluang tipis

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengakui peluang skuad lelaki negara untuk mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi proses rayuan amat tipis.

Bagaimanapun katanya, badan induk itu tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus berusaha terutamanya bagi meyakinkan delegasi kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di New Delhi dari 1 hingga 3 November depan yang dijangka membincangkan mengenai perkara itu.

“Memang CEO FIH (Thierry Weil) ada membalas surat menyatakan ia tidak dapat dipertimbangkan ketika ini kerana perlu melalui IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa), tapi saya akan ke New Delhi dan cuba memberi penerangan pada kongres itu.

“Secara jujur peluang amat tipis, namun tidak bermakna kami tidak akan terus mencuba. Kami tidak mahu hanya menunggu keputusan tanpa berusaha,” katanya.

Malaysia sebelum ini sudah mengemukakan cadangan kepada FIH dan Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagi pemenang pingat perak lelaki dan wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Weil dalam reaksi balas kepada AHF sebelum ini menegaskan sukar untuk mengubah sistem kelayakan Sukan Olimpik yang ditentukan oleh IOC dan bukannya FIH.

Malaysia tewas menerusi penentuan penalti pada aksi final Sukan Asia kepada Jepun sekali gus terlepas peluang untuk layak secara automatik ke Tokyo kerana hanya pemenang pingat emas saja berhak mendapat slot itu.

Situasi sama berlaku kepada skuad wanita India yang tewas di tangan Jepun pada penentuan pingat emas.

Mengikut peraturan FIH, sekiranya Jepun muncul juara Sukan Asia, kuota ke Olimpik itu akan dibawa ke kempen kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.

Kempen itu bermula pada Pusingan Akhir Siri Hoki dari 23 April hingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan hanya dua pasukan terbaik akan mara ke Pusingan Akhir Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi kejohanan terakhir merebut tempat ke Tokyo 2020.

Berita Harian X