Sabtu, 29 September 2018 | 9:08pm
SETIAUSAHA Agung MTBC, Maradona Chok.
SETIAUSAHA Agung MTBC, Maradona Chok.

MTBC beri peluang pemain muda bukti kemampuan

 

KUALA LUMPUR: Sebagai usaha merapatkan jurang antara pemain junior dan senior kebangsaan, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) akan mengadakan kejohanan dalaman selama 15 hari bermula esok.

Secara keseluruhan, seramai 26 pemain boling lelaki dan wanita negara akan mengambil bahagian dalam sesi berkenaan yang berakhir pada 19 Oktober ini.

Lebih menarik, tujuh atlet termasuk dua daripada program Kita Juara iaitu Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Hafiz Zainuddin serta lima daripada skuad remaja kebangsaan - Brandon Ting, Akmal Qayyim, Adam Azza Zailan, Nevern Netaneel dan Shafiy Zaim turut bersaing untuk terpilih dalam pasukan negara ke Kejuaraan Lelaki Dunia di Hong Kong yang berlangsung pada 23 November hingga 5 Disember depan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok ketika dihubungi berkata: “Sebab mengapa kami memutuskan untuk melakukan perkara itu adalah untuk mengukur kekuatan keseluruhan pemain-pemain kami.

“Sesi kejohanan dalaman ini bukan saja untuk memutuskan skuad lelaki bagi kejohanan dunia, kerana kami juga mahu pemain-pemain remaja kita supaya mengejar kualiti pemain-pemain senior dengan lebih pantas.

“Dengan cara ini, kami mahu memberikan pendedahan permainan di tahap tertinggi lebih awal. Ia turut memberi mereka peluang yang baik untuk menyinar dan mungkin mengisi tempat dalam skuad lelaki negara yang beraksi di Kejuaraan Dunia.”

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Kejuaraan Dunia adalah pada 1979 di Manila, Filipina.

Secara keseluruhan, kesemua pemain akan mengharungi enam perlawanan sehari, dengan penggiliran lima pelapisan minyak yang berbeza.

Selain Kejuaraan Dunia, Maradona turut mengesahkan Rafiq Ismail - yang menamatkan Jelajah Boling Dunia Thailand di kedudukan ketiga, semalam - akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat di Kansas yang bermula pada 24 hingga 31 Oktober ini.

Dua pemain juga akan dipilih bagi Piala Dunia yang dijadual berlangsung di Las Vegas November depan. 

Berita Harian X