Rabu, 12 September 2018 | 4:18pm
ATLET wushu Melaka, Tan Cheong Min ketika beraksi dalam acara nanquan wanita pada SUKMA Perak 2018 di Dewan Seri Kinta, Kolej Matrikulasi Gopeng. - Foto Abdullah Yusof

Melaka terus kuasai wushu

 

 

IPOH: Melaka meneruskan kecemerlangan dalam sukan wushu di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak apabila atlet wanitanya Tan Cheong Min menghadiahkan emas kelima Melaka dalam acara nanquan di Kolej Matrikulasi Gopeng, di sini hari ini. 

Kejayaan itu sekali gus mengubati kegagalannya semalam apabila sekadar meraih perak dalam acara nandao. 

Cheong Min yang juga atlet kebangsaan mengumpul 9.56 mata untuk emas, menewaskan jaguh cilik dari Kelantan Nor Azira Kamarudzaman perak, 9.25 mata dan Lee Hui Xuan dari Sarawak gangsa, 9.05 mata. 

Bagi Cheong Min, 20, dia menutup tirai pembabitannya di SUKMA terakhirnya kali ini dengan kenangan manis apabila berjaya membantu Melaka menambah kutipan pingat emas. 

Namun katanya, biarpun tanpa kelibatnya di edisi tahun depan kerana statusnya sebagai atlet kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Asia, dia tetap yakin barisan atlet Melaka mampu untuk meneruskan penguasaan dalam acara wushu. 

"Saya percaya pasukan Melaka mampu terus menguasai acara wushu ini. Melaka mempunyai mempunyai ramai atlet berbakat dan prestasi kesemua atlet Melaka sangat baik dan ramai lagi atlet yang berpotensi cerah untuk diketengahkan," kata Cheong Min yang menyumbang satu emas, satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Wushu Dunia di Russia tahun lalu.

"Apa yang penting dalam wushu ini adalah fokus dan kesilapan kecil akan membuatkan anda gigit jari. Itu yang berlaku pada saya semalam, kesilapan kecil menyebabkan saya ditolak 0.1 mata dan akhirnya saya menang perak.”

Cheong Min hampir meraih pingat di Sukan Asia Jakarta-Palembang yang lalu dalam acara gabungan nandao dan nanquan, namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat kerana melakukan kesilapan dalam acara nanquan. 

Sementara pada aksi sebelah pagi atlet Wilayah Persekutuan, Kerk Qing meraih emas dalam acara taijiquan selepas mengumpul 9.40 mata, atlet Perak, Aw Sheng Hao, 9.35 mata di tempat kedua dan Eddie Chin meraih gangsa untuk Melaka dengan 9.31 mata. 

 

Berita Harian X