Ahad, 9 September 2018 | 1:56pm
MOHAMAD Ikmal Imran. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MOHAMAD Ikmal Imran. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Ikmal Imran yakin tuai emas

JOHOR BAHRU: Selepas sekadar meraih gangsa dalam acara double boling padang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016, Mohamad Ikmal Imran Rosli kini mahu mencipta sejarah menggapai emas dalam acara itu pada temasya di Perak.

Atlet boling padang Johor itu yakin, dia kini sudah mempunyai cukup pengalaman selepas beraksi dalam tiga temasya SUKMA sejak 2012, sebelum turun beraksi di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), bermula 12 September hingga 21 September ini.

Dia sekali lagi akan bergandingan dengan Mohd Saifudin Zulkifli dan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik memburu pingat emas, walaupun terpaksa berlatih di gelanggang boling padang yang uzur di Kompleks Belia Sukan di Larkin.

“Walaupun berdepan dengan kesukaran berlatih kerana fasiliti pusat latihan yang tidak serba lengkap, namun itu bukan alasan untuk menyerlah.

"Kami akan menggunakan segala kudrat yang sedia ada untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memperjuangkan sukan boling padang sekali gus mengharumkan nama Johor dengan kilauan emas.

"Saya mewakili Johor sejak SUKMA Pahang 2012 dan tidak boleh lagi kecewa kerana segala latihan dan pengalaman ketika betanding akan digunakan sepenuhnya untuk mencipta kejayaan," katanya.

Selain menyertai acara double, dia juga akan beraksi dalam acara single, malah berterima kasih kepada jurulatihnya iaitu Mohd Madihi Ramli yang banyak meningkatkan prestasinya.

"Apa yang diutamakan oleh jurulatih adalah persediaan mental, kerana kami akan berdepan dengan atlet dari Terengganu dan tuan rumah, Perak yang memiliki kekuatan tersendiri dalam acara itu," kata Mohamad Ikmal.

Berita Harian X