Ahad, 2 September 2018 | 4:03pm
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) mendengar pertanyaan media pada sidang media di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Turut sama Chef De Mission Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi (dua, kanan).- Foto BERNAMA
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) mendengar pertanyaan media pada sidang media di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Turut sama Chef De Mission Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi (dua, kanan).- Foto BERNAMA

MOM kesal NSA tak jujur

JAKARTA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengakui mendapat pengajaran berguna susulan kegagalan atlet kategori B yang gagal menyerlah pada Sukan Asia 2018.

Ia diakui Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat pada temasya edisi ke-18 itu.

Lebih diburukkan dengan isu atlet papan selaju dalam kategori B, Fatin Syahirah Roszizi apabila aksinya di Palembang mendapat kecaman dalam media sosial.

“Apabila melakukan proses pemilihan, kami diberikan komitmen berdasarkan keputusan yang dicapai (atlet) bahawa mereka layak namun selepas melihat perkembangan di Sukan Asia, ada antara persatuan sukan kebangsaan (NSA) terutamanya dalam kategori B tidak memberikan penerangan yang baik atau adil kepada kami.

“Niat utama kami memberi peluang kepada atlet sukan tertentu yang tidak pernah berpeluang beraksi di pentas sebesar ini,” katanya.

Tegasnya, ‘pisang tidak akan berbuah dua kali’ dengan pemilihan kategori B akan diperketatkan pada masa akan datang.

“Prosedur SOP pemilihan kategori B perlu dijelaskan. Contohnya bagi kategori A kami meletakkan syarat untuk kedudukan empat teratas di Asia namun kategori B boleh dilonggarkan kepada enam teratas di Asia.

“Malah selepas ini kami mahukan pertandingan yang diiktiraf sebagai ukuran, bukan yang tidak disertai ramai peserta.

“Kami belajar daripada perkara ini dan akan mengambil iktibar pada masa depan,” katanya.

Dua atlet dalam kategori B yang mendapat pingat adalah Qabil Ambak Mahamad Fathil (perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Hazim Azmad yang meraih gangsa.

Justeru MOM akan membayar kos mereka di Sukan Asia 2018 iaitu tiket penerbangan dan bayaran penginapan.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) diberikan pujian apabila memberikan sasaran yang tepat dan jujur apabila mencapai kedudukan kelima terbaik seperti dimaklumkan kepada MOM.

Sementara itu, Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Rabu ini akan melihat secara terperinci program latihan dan kewibawaan jurulatih badan induk itu.

“Kami harus lakukan perubahan untuk membaiki keadaan sebelum Sukan Olimpik 2020. Istora Senayan bukan mudah kerana China, Jepun, Korea Selatan juga tumbang namun kami bukan mahu memberikan alasan,” katanya.

Berita Harian X