Khamis, 30 Ogos 2018 | 8:10pm
 JAGUH berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang meraikan kejayaan meraih pingat emas selepas mengalahkan Tomohiro Fukaya menerusi acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta hari ini. - Foto BERNAMA
JAGUH berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang meraikan kejayaan meraih pingat emas selepas mengalahkan Tomohiro Fukaya menerusi acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta hari ini. - Foto BERNAMA

Emas hadiah kemerdekaan: Azizulhasni

 

JAKARTA: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menghadiahkan kejayaannya meraih emas dalam acara pecut individu sempena Hari Kebangsaan yang ke-61 esok.

The Pocket Rocketman memastikan emas di Velodrom Antarabangsa Jakarta apabila mengatasi cabaran pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dalam aksi dua set di final.

"Sudah pasti ini hadiah hari kemerdekaan negara esok. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan saya. Selamat hari Merdeka," katanya selepas perlumbaan sebentar tadi.

Jelasnya kejayaan yang diraih bukanlah semudah yang disangka walaupun mampu menang dalam dua siri perlumbaan.

"Banyak muslihat dan perancangan. Perlumbaan pertama di final saya beri semuanya untuk menang dan ia kelihatan lebih mudah pada perlumbaan kedua kerana semangat melawan dia sudah habis," kata Azizulhasni.

Namun dia menjelaskan cabaran sebenarnya lebih sukar pada aksi separuh akhir pada sebelah pagi apabila menentang pelumba terpantas dalam aksi kelayakan, Im Chaebin dari Korea Selatan.

"Kini saya mahu pulang dan berehat bagi pastikan diri dalam keadaan terbaik bagi hadapi keirin esok. Saya tidak mahu terlalu yakin dan menghormati pelumba lain dalam keirin," katanya.

Kejayaan Azizulhasni adalah emas kelima kontinjen negara serta menebus kekecewaannya gagal di Kejohanan Trek Dunia dan Sukan Komanwel gara-gara jangkitan virus.

Malah ia adalah pingat emas pertamanya dalam acara pecut individu di Sukan Asia.

Sementara Shah Firdaus Sahrom memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada Chaebin 1-2 dalam penentuan gangsa.

Berita Harian X