Rabu, 29 Ogos 2018 | 9:37pm
MEGAT Zulkarnain Omardin - Foto BERNAMA
MEGAT Zulkarnain Omardin - Foto BERNAMA

Kekalahan Jufferi tambah tekanan

 

JAKARTA: Impak kekalahan mengejut sandaran utama skuad silat, Mohd Al-Jufferi Jamari kelmarin memberi kesan kepada pesilat negara dalam merealisasikan sasaran tiga emas pada Sukan Asia.

Hakikat itu diakui Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas mereka gagal meraih sebarang emas hari ini.

"Secara keseluruhan saya melihat kesan yang amat besar kepada tiga pesilat apabila kita tewas pada  final pertama (Jufferi) kelmarin,” kata Megat.

"Ia bukan mencari alasan namun tekanan cukup besar apabila Jufferi tewas dengan cara sedemikian. Saya sendiri meluangkan masa bersama dua pesilat yang mara ke final hari ini bagi memberikan motivasi.

"Mereka sudah mencuba namun mungkin tekanan berlaku. Saya tidak marah kerana sedar mereka sudah mencuba sebaik mungkin."

Jufferi yang juga juara dunia tiga kali, kecundang kelmarin kepada lawan dari Indonesia dengan pesilat berkenaan dan Megat Zulkarnain menyifatkan ia adalah kerana ketidakadilan dua daripada lima juri yang mengadili perlawanan.

Muhammad Faizul Mohd Nasir yang turun selepas kekalahan Jufferi turut akur meraih perak apabila tewas kepada tuan rumah kelmarin.

Hari ini, Mohd Khaizul Yaacob dan Mohd Fauzi Khalid turut kecundang  di final apabila masing-masing tewas kepada lawan dari Vietnam.

"Saya sedih kerana kita tidak mampu raih emas bagi membantu kontinjen negara namun secara keseluruhan empat perak dan empat gangsa adalah pencapaian yang membanggakan. 

"Bagaimanapun dengan keputusan ini, skuad kebangsaan akan dirombak," katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata, sistem pemarkahan dalam sukan silat perlu dinilai semula secara keseluruhan bagi membolehkan ia berpeluang cerah disenaraikan di Sukan Asia 2022.

Berita Harian X