Rabu, 29 Ogos 2018 | 8:55pm
ABDUL Azim Mohd Zabidi - Foto NURUL SHAFINA JEMENON
ABDUL Azim Mohd Zabidi - Foto NURUL SHAFINA JEMENON

Malaysia tak panik

JAKARTA: Kontinjen negara belum menekan butang panik ketika Malaysia terlepas dua lagi pingat emas dari gelanggang silat hari ini.

Berbaki tiga hari temasya Sukan Asia, Malaysia secara keseluruhan hanya mengumpul empat emas, kurang tiga daripada sasaran awal ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan.

Begitupun Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menegaskan ada beberapa acara lagi yang boleh diharapkan bagi mencapai sasaran itu.

"Kita memang amat kecewa silat tak dapat sumbangkan emas, kita memang mengharapkannya.

"Begitupun masih ada beberapa acara seperti pelayaran, skuasy dan mungkin terjun yang boleh membuat kejutan," katanya selepas menyaksikan acara final silat.

Azim menjelaskan, tujuh emas masih menjadi sasaran dan pihaknya tidak menekan mana-mana butang panik.

Ditanya mengenai acara silat yang didominasi Indonesia selain tindakan juri atau wasit yang disifatkan 'merompak' emas negara, Azim tampak masih tenang.

"Kadang-kadang kalau kita ikut emosi, kita salahkan mana-mana pihak dan di sini juri atau wasit.

"Tapi keputusan (mereka) muktamad, jadi kita kena terima.

"Mengenai kualiti wasit ini saya tak mahu komen dulu tapi kita dapati bukan hanya silat tapi juga -sukan lain, mungkin mereka tak berapa suka Malaysia," katanya.

Berita Harian X