Khamis, 23 Ogos 2018 | 12:51am
SYAIDATUL Afifah Badrul Hamidi (kanan), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tengah) dan Esther Cheah Mei Lan (kiri) gembira menunjukkan pingat emas pertama Malaysia dari Skuad Boling Negara selepas memenangi pingat itu dalam acara ‘Women Trios’ Boling pada temasya Sukan Asia ke-18 di Komplex Sukan Boling Jakabaring. - Foto BERNAMA
SYAIDATUL Afifah Badrul Hamidi (kanan), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tengah) dan Esther Cheah Mei Lan (kiri) gembira menunjukkan pingat emas pertama Malaysia dari Skuad Boling Negara selepas memenangi pingat itu dalam acara ‘Women Trios’ Boling pada temasya Sukan Asia ke-18 di Komplex Sukan Boling Jakabaring. - Foto BERNAMA

Pengorbanan hari raya berbaloi raih emas

PALEMBANG: Pengorbanan menggalas cabaran negara sehingga tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga tahun ini nyata berbaloi buat pemain boling wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Kedua-dua pemain itu serta rakan sepasukan, Esther Cheah muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama negara di temasya Sukan Asia 2018, Indonesia apabila mengungguli acara trio wanita di Pusat Boling Jakabaring di sini, semalam.

Semasa ketibaan bulan Syawal pada Jun lalu, kedua-dua pemain berkenaan menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Orlando dan kini sambutan Aidiladha hari ini disambut di sini.

“Pengorbanan kita ini sangat berbaloi, walaupun dua hari raya tak beraya di bumi Malaysia,” kata Syaidatul Afifah, 26, pada sidang media selepas majlis penyampaian pingat di sini.

Sementara itu, Siti Safiyah Amirah, 27, menghadiahkan kemenangan itu kepada bapanya, Abdul Rahman Mohd Shariff yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-61, Jumaat ini.

“Ayah sangat gembira dengan pingat emas ini. Beliau berkata ini adalah hadiah hari jadinya yang istimewa,” katanya.

Trio itu menamatkan kemarau emas 24 tahun acara berkenaan selepas mencatatkan 4,326 jatuhan pin, mengatasi trio Taiwan, Pan Yu Fen, Chou Chia Chen dan Tsai Hsin Yi (4,255) dan trio Singapura, Yeo Ruo Qi Joey, Tan Daphne Shi Jing, Lim Bernice Hui Ying (4,250) yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Satu lagi trio negara yang terdiri daripada Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan dan Shalin Zulkifli menamatkan saingan di tempat keempat selepas mencatatkan 4,144 jatuhan pin.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas acara trio wanita ialah pada pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun manakala pingat perak berjaya diraih pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan edisi 2006 di Doha, Qatar. - BERNAMA

Berita Harian X