Rabu, 22 Ogos 2018 | 1:21pm
LIM Yew Fai

Wushu pulang tangan kosong

 

JAKARTA: Tiada kilauan pingat daripada skuad wushu negara selepas cabaran mereka berakhir di Pusat Pameran Antarabangsa Jakarta di Kemayoran, hari ini.

Wushu tidak pernah gagal menyumbangkan emas kepada kontinjen negara sejak edisi 2002 dan mereka turut meraih emas pada edisi 2014 walaupun akhirnya ditarik balik susulan isu doping.

Bagi jurulatih negara Lim Yew Fai, sasaran mereka sememangnya tidak terlalu tinggi kerana hanya menghantar dua atlet berpengalaman.

"Manakala baki lima lagi adalah atlet muda seperti Tan Cheong Min. Jadi kita tidak boleh terlalu memberi tekanan," kata Yew Fai.

Peluang terakhir Malaysia meraih pingat adalah menerusi atlet senior, Loh Jack Chang dan walaupun mengutip 9.68 mata dalam acara Taijijian hari ini, ia tidak memadai kerana hanya mengutip 9.58 dalam acara Taijiquan semalam.

"Bagi meraih pingat Sukan Asia adalah sesuatu yang amat sukar kerana ia sentiasa ada acara gabungan, tidak seperti kejohanan lain.

"Ia bukan sesuatu yang mudah bagi atlet untuk memberi fokus untuk melakukan rutin dalam dua acara. Walau bagaimanapun pengalaman yang mereka kutip adalah penting pada masa depan," katanya.

Wushu sebelum ini meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna kepada atlet negara.

 

Berita Harian X