Selasa, 21 Ogos 2018 | 4:20pm
ATLIT Wushu negara, Phoon Eyin beraksi bagi kategori Qiangshu, pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, di Arena Jiexpo Kemayoran. - Foto Fathil Asri
ATLIT Wushu negara, Phoon Eyin beraksi bagi kategori Qiangshu, pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, di Arena Jiexpo Kemayoran. - Foto Fathil Asri

Wushu hampir pasti pulang kosong

JAKARTA: Skuad wushu dijangka pulang 'tangan kosong' selepas harapan terbaik Phoon Eyin sekadar menamatkan saingan pada kedudukan keempat dalam acara gabungan jianshu dan qiangshu.

Atlet yang tampil buat kali kedua itu mencatat 9.68 mata dalam acara qiangshu dalam aksi di Pusat Pameran Antarabangsa Jakarta, Kemayoran, sebentar tadi.

Dia mengumpul 19.26 mata secara keseluruhan selepas meraih 9.58 mata dalam acara jianshu semalam.

"Saya fikir keputusan ini adalah peningkatan kerana pada 2014 berada pada kedudukan kelima dalam acara yang sama.

"Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini kerana sudah melakukan dengan sempurna," katanya.

Atlet China, Guo Mengjiao meraih emas dengan 19.49 mata manakala perak dimenangi Zahra Kiani dari Iran dengan 19.41 mata selepas mengatasi pemenang gangsa, Duang Thuy Vi yang mengumpul 19.40 mata.

Malaysia hanya memiliki satu satu acara esok menerusi Loh Jack Chang yang akan turun melengkapkan acara taijijian selepas sekadar pada kedudukan ke-13 dengan 9.58 mata dalam taijiquan hari ini.

Peluang untuk dia meraih pingat dilihat tipis dalam acara gabungan itu.

Wushu tidak pernah gagal menyumbangkan emas sejak edisi 2002 walaupun edisi 2014 menyaksikan emas ditarik balik susulan kes doping.

Berita Harian X