Rabu, 15 Ogos 2018 | 6:21pm
KETUA jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley. - Foto Eizairi Shamsudin
KETUA jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley. - Foto Eizairi Shamsudin

Beasley harap kejutan pecut berpasukan

NILAI: Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley berpuas hati dengan prestasi anak buahnya menjelang temasya Sukan Asia Jakarta Palembang yang akan bermula Sabtu ini.

"Saya gembira kerana segala perancangan berjalan lancar, jadi kita hanya tunggu dan lihat bagaimana mereka beraksi menentang atlet negara lain di Jakarta nanti,” kata Beasley.

"Walaupun saya meletakkan sasaran untuk menang pingat dalam acara pecut dan keirin, saya percaya pasukan pecut negara mampu mencipta kejutan dan sekurang-kurangnya menduduki tempat keempat di Sukan Asia nanti.

Beasley menegaskan kejayaan di Sukan Asia penting kerana ia sebahagian daripada persediaan skuad berbasikal kebangsaan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Secara jujurnya kita juga sudah memasuki perancangan untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas berjaya melakukan dengan baik untuk fasa pertama, sejak dua tahun lalu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Beasley enggan terlalu memikirkan sangat sama ada dia akan terus kekal membimbing skuad lumba basikal trek kebangsaan selepas Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berakhir, bulan depan.

Ketua jurulatih itu menegaskan dia akan meneruskan tugasnya seperti biasa kerana fokus utamanya sekarang adalah untuk memastikan sasaran ditetapkan dapat dicapai di Sukan Asia 2018 nanti.

 

Berita Harian X