Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:25pm
SETIAUSAHA Agung  Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok. - Foto fail NSTP/Rosela Ismail
SETIAUSAHA Agung  Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok. - Foto fail NSTP/Rosela Ismail

Maradona dedah 3 negara ancam Malaysia

KUALA LUMPUR: Singapura, Korea Selatan dan Taiwan antara pasukan yang mampu menjadi pemusnah impian skuad boling negara dalam usaha untuk merangkul pingat emas di Sukan Asia Indonesia-Palembang yang akan disingkap tirainya secara rasmi, Sabtu ini.

Setiausaha Agung  Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok mengakui harapan kepada skuad wanita terutamanya cukup tinggi terutama selepas berjaya merangkul emas di Kejohanan Dunia tahun lalu.

Namun, katanya, Singapura dan Korea Selatan yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga tidak akan mudah menyerah kalah, sebaliknya pasti bertekad untuk membalas dendam kekalahan berkenaan di temasya terbesar Asia itu.

“Seperti kita, mereka mempunyai satu pasukan yang lengkap yang mana enam pemain mereka adakah bertaraf dunia,” katanya hari ini.

Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan, menamatkan penantian negara selama sedekad untuk meraih emas di Kejohanan Dunia di Las Vegas.

Ditanya sama ada sasaran yang tinggi itu akan memberi tekanan kepada pemain di Palembang nanti,   Maradona percaya pemain sudah cukup matang untuk menangani tekanan. 

“Bohonglah jika saya cakap tiada tekanan tapi saya yakin pemain boleh lakukannya. Mereka hanya perlu pergi ke sana, fokus dan lakukan yang terbaik.”

Ketika pasukan wanita disandarkan harapan untuk menamatkan saingan di kedudukan podium, Maradona tidak menafikan pasukan lelaki juga mempunyai peluang.

“Mereka (skuad lelaki) semakin serasi bersama, mereka mampu mempamerkan aksi mantap apabila bersama dan mempunyai kelebihan dalam acara berpasukan.

“Pasukan lelaki perlu membuktikan mereka mampu untuk melakukannya, jadi mereka perlu percaya pada kemampuan masing-masing,” kata Maradona yang mahu pasukan Korea Selatan ditewaskan.

Skuad lelaki negara akan dibarisi Rafiq Ismail, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan, Alex Liew, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan.

Maradona turut menjangkakan satu persaingan terbuka yang mana sistem pemarkahan akan dikira berdasarkan 10 frame yang pertama kali diperkenalkan di kejohanan utama.

Acara boling akan bermula 21 Ogos ini di Pusat Bowling JSC di Palembang.

Pada edisi empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan, Malaysia menamatkan saingan dengan meraih empat perak.

Berita Harian X