Ahad, 5 Ogos 2018 | 7:46pm
MOHD Fadhil sedang melihat kecederaan kaki dialami Shah Firdaus di kejohanan basikal Piala Trek Dunia di China, akhir bulan lalu
MOHD Fadhil sedang melihat kecederaan kaki dialami Shah Firdaus di kejohanan basikal Piala Trek Dunia di China, akhir bulan lalu

Trio Malaysia mampu cipta kejutan dalam acara pecut berpasukan

NILAI: Biarpun baru digandingkan oleh ketua jurulatih John Beasley, namun trio acara pecut berpasukan Malaysia yang dianggotai oleh Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis tetap mampu mencipta kejutan dan menang pingat di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, akhir bulan ini.

Malah, trio kebangsaan terbabit mempamerkan aksi cemerlang dengan mencatatkan masa kurang dari 10 saat dalam acara pecut individu lelaki di Piala Trek Dunia di China, akhir bulan lalu.

Dalam aksi berkenaan Azizulhasni meraih emas selepas mencatatkan masa 9.8 saat; Shah Firdaus pula menang perak dalam aksi final siri kedua dengan melakukan catatan rekod 9.867s, manakala Mohd Fadhil pula 9.9s buat pertama kalinya. 

"Alhamdulillah segala persiapan saya ke Sukan Asia berjalan lancar selepas saya mempamerkan aksi cemerlang dengan mencatatkan bawah 9.9s di Piala Trek China minggu lalu, sekali gus menjadi pelumba basikal Malaysia keempat berjaya melakukan catatan di bawah 10s.

"Oleh itu saya melihat ia suatu yang positif untuk ke Sukan Asia 2018 nanti kerana kami bertiga berjaya mencatatkan masa bawah 10s. Saya akan lakukan yang terbaik biarpun diletakkan selaku 'last man' dalam acara pecut berpasukan nanti," kata Mohd Fadhil ketika ditemui di Velodrom Nasional Nilai di sini.

Bagaimanapun, Mohd Fadhil berkata mereka juga perlu berwaspada dan bersaing dengan pasukan negara lain terutama China, Jepun dan Korea Selatan yang menjadi pencabar utama kepada trio Malaysia untuk memenangi pingat di Jakarta nanti.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil juga percaya gandingannya bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus juga mampu meleburkan rekod kebangsaan acara pecut berpasukan yang sudah berusia 10 tahun.

Rekod berkenaan yang dilakukan gandingan Azizulhasni, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin ketika beraksi di Sukan Olimpik 2008 di Beijing dengan masa 44.725s masih kekal sehingga hari ini.

Ia hampir dipecahkan pada Sukan Komanwel Gold Coast yang lalu menerusi gandingan Mohd Fadhil, Shah Firdaus dan Muhammad Khairil Nizam Rasol dengan masa 44.760s.

 

 

Berita Harian X