KUALA LUMPUR: Sukan Asia Jakarta-Palembang bakal menyaksikan sukan silat dipertandingkan dan ia menjadi pentas buat pasukan negara memburu pingat emas pada penampilan sulung acara seni bela diri itu di temasya berkenaan.
Tiga kilauan pingat berkenaan dijadikan sandaran daripada senarai 20 pesilat yang beraksi di sana dan ia tampak realistik memandangkan tuan rumah Indonesia pastinya mahu menjadikan sukan berkenaan sebagai antara lubuk tuaian emas.
Enam belas acara dipertandingkan pada penampilan sulung sukan itu di temasya berkenaan dan Malaysia mempunyai barisan pesilat bertaraf dunia yang dijadikan sandaran utama.
Sandaran utama antaranya diletakkan di tangan jaguh tiga kali dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan juara dunia 2010, Mohd Fauzi Khalid namun yang lain juga mampu menyerlah andai berdasarkan latihan intensif dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun, kesemua pesilat diharap mampu mengekang asakan serangan psikologi dimainkan penyokong tempatan yang tentunya menggamatkan dewan GOR Pencak Silat TMII di Jakarta nanti.
"Sebelum ini kita sudah berada di Vietnam selama dua minggu dan di Kyrgyzstan bagi latihan serta perlawanan persahabatan.
"Persiapan mental memang kita buat fasa-fasa akhir kerana nak bertanding di Indonesia dalam keadaan stadium yang memang gamat dan penuh... jadi kena bersedia," kata Pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yakin dengan kemampuan kesemua pesilat dan mampu membawa panji negara.
"Pada saya kesemua pesilat ini mempunyai sasaran, kami juga ada sasaran pingat perak dan gangsa," katanya.
"Kami pergi dengan sasaran yang tepat, kita tak nak mereka kalah di pusingan awal dan kalau boleh ke separuh akhir... paling tidak meraih pingat gangsa sebelum ke final untuk merebut emas atau perak."
Info
Silat
Senarai atlet
Mohd Khaizul Yaacob - kelas J putra +90-95kg
Muhammad Afifi Nordin - tunggal putra/ganda putra
Mohd Taqiyuddin Hamid - ganda putra
Sazzlan Yuga - regu putra
Muhammad Syafiq Ibrahim - regu putra
Mohd Juned Abdullah - regu putra
Siti Farhanita Maddin - kelas B putri +50-55kg
Siti Shazwana Ajak - kelas C putri +55-60kg
Siti Rahmah mohamed Nasir - kelas D putri +60-65kg
Norshahirah Ratius - tunggal putri/regu putri
Nor Hamizah Abu Hassan - ganda putri
Nur Syazreen A Malik - ganda putri
Siti Nur Khairunnisa Hail - regu putri
Nuraisyah Shamshul Bahrin - regu putri
Muhammad Robial Sobri - kelas I putra +85-90kg
Mohd Fauzi Khalid - kelas F putra +70-75kg
Mohd Al Jufferi Jamari - kelas E putra +65-70kg
Mohamad Zarish Hakim - kelas D putra +60-65kg
Mohamad Hazim Amzad - kelas C putra +55-60kg
Muhammad Faizul M Nasir - kelas B putra +50-55kg
Venue: GOR Pencak Silat TMII, Jakarta
Tarikh pertandingan: 19 hingga 29 Ogos