Rabu, 1 Ogos 2018 | 5:04pm
ATLET Wushu negara, Wong Weng Son. - Foto Owee Ah Chun

Wushu enggan ghairah sasar emas

KUALA LUMPUR: Wushu secara tradisinya tidak pernah mengecewakan kontinjen negara apabila bertanding di pentas Sukan Asia di Jakarta minggu depan.

Kontinjen wushu negara menyumbang emas sejak edisi 2002 (Ho Ro Bin), 2006 (Chai Fong Ying), 2010 (Chai Fong Ying) dan Tai Cheau Xuen walaupun kemudiannya ditarik balik susulan kes doping.

Bagaimanapun pada edisi 2018 di Indonesia, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) mengambil sikap berwaspada meskipun melihat semua tujuh atlet yang dihantarnya ke Jakarta adalah berpotensi menyumbang sesuatu kepada kontinjen negara.

Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata, tiada sasaran emas ditetapkan kali ini selepas Indonesia tidak menganjurkan acara yang menjadi kekuatan Malaysia.

Indonesia tidak mempertandingkan acara jianshu lelaki dengan  Malaysia mempunyai juara dunia 2017, Wong Weng Son.

"Terdapat acara kegemaran atlet negara tidak dipertandingkan kali ini. Jadi kita meletakkan sasaran untuk membawa pulang sebutir perak dan dua gangsa.

"Bagaimanapun ini adalah sukan yang berprestasi tinggi, apa saja boleh berlaku. Persiapan berjalan dengan lancar selain atlet berada dalam landasan tepat untuk meraih sesuatu," katanya.

Seramai tujuh atlet akan menggalas cabaran wushu di Jakarta seperti Phoon Eyin,  Loh Jack Chang serta Weng Son yang menyertai acara changquan.

China secara tradisinya menguasai wushu namun Korea Selatan, Vietnam, Indonesia serta Malaysia antara yang mampu mencuri satu atau dua emas.

Berita Harian X