Ahad, 29 Julai 2018 | 7:14pm
 VELODROM Rakyat Ipoh.
VELODROM Rakyat Ipoh.

Amarjit optimis Velodrom Rakyat diiktiraf UCI

 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill optimis Velodrom Rakyat akan mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam masa terdekat.

Amarjit menjelaskan beliau mendapat maklum balas positif daripada Pengurus Trek UCI, Gilles Peruzzi yang hadir ke Velodrom Rakyat di Ipoh bagi melakukan pemeriksaan terperinci terhadap trek dan kemudahan lain.

"Maklum balas awal beliau adalah positif. Beliau memaklumkan tahap trek dan fasiliti cukup baik. Saya fikir beliau gembira dengan semua pemeriksaan yang dijalankan dengan amat terperinci. Saya rasa positif sijil homologation akan dikeluarkan," kata Amarjit yang juga Presiden Berbasikal Perak (PCA).

Velodrom Rakyat sebelum ini dibaik pulih dengan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM11 juta namun ia memerlukan beberapa penambahbaikan sebelum diluluskan UCI.

"Saya sendiri akan ke ibu pejabat UCI di Switzerland pada Rabu ini dan apabila berharap apabila pulang ke Malaysia akan membawa bersama sijil untuk Velodrom Rakyat. Walaupun kebiasaanya ia mengambil masa tiga atau empat minggu, saya sudah memaklumkan kepadanya tentang kejohanan yang akan dijalankan dan memintanya memberikan perhatian yang khusus," katanya yang juga ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI.

Acara trek Sukan Malaysia (SUKMA) pada September dijadual berlangsung di Velodrom Rakyat dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How pernah mengeluarkan kenyataan supaya pengiktirafan daripada UCI perlu dikeluarkan pada awal bulan depan bagi membolehkan perlumbaan dilangsungkan atau sebaliknya.

Sekiranya mendapatkan pengiktirafan UCI, velodrom terbuka berkenaan akan layak untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa dalam kalendar badan induk berbasikal dunia berkenaan selain Velodrom Nasional di Nilai.

Velodrom Rakyat dibina pada 1984 menerusi derma orang awam yang diusahakan Tan Sri Darshan Singh selain pernah menganjurkan  kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991.

 

Berita Harian X